SESEGAR NAILOFAR (BAB 1)

 Bebola merah itu telah pupus semuanya. Mega yang beropol-ropol berhimpun lagi sebagaimana selalu. Beramabal-ambalan perlahan,menghiasi langit senja yang semakin menjingga,menghantar malam menggantikan siang yang mulai berangkat pergi.

Azan yang berkumandanag begitu mersik bagaikan memanggil-manggil. Keinginan untuk berjemaah di masjid memang ada,tetapi keletihan terlalu menguasai diri. Segenap sendi semacam ketat,badab begitu lesu dan kaki terasa amat berat untuk diheret sejak pulang dari padang sebentar tadi. Fardhu maghrib lantas ditunaikan seorang diri di kamar sejurus selepas laungan azan itu selesai.


Jam hampir lapan malam. Maghrib memang agak lewat datangnya lantaran siang lebih panjang berbanding malam pada musim panas begini. Selesai berwirid pendek dan berdoa,disusuli solat sunat ba'diyah,Furqan melangkah penuh letai ke ruang tamu. Rumah yang dinamakan Darul Hawariyyin itu sepi. Teman-teman serumahnya masih belum pulang daripada berjemaah di masjid Duwar Nasiem yang cuma 350 meter dari rumah mereka. Barangkali ada kuliah maghrib,fikirnya.

Dibelenggu rasa tidak bermaya,dia terpaksa menapak perlahan-lahan. Tegang otot pahanya kadangkala terasa seperti hendak kejang. Apalah malangnya hari ini. Beberapa kali dia tersungkur apabila kakinya dibentes lawan. Serik untuk bermain bola sepak dengan orang Arab. Terlalu kasar dan agresif.

Bau ayam gulai kurma yang dibawa oleh angin dari dapur bagaimanapun sedikit menyegarkan. Iqbal telah menyiapkan hidangan makanan sebelum senja tadi. Dia yakin,sebentar lagi rafik-rafiknya pasti pulang untuk makan malam seperti selalu. Furqan akhirnya melabuhkan punggungnya di atas sofa lusuh kira-kira dua meter  di hadapan sebuah televisyen empat belas inci. Dia duduk bersandar sambil melunjurkan kakinya  bagi mengurangkan ketegangan otot yang dialaminya.

 Sebotol air mineral sudah terbukla penutupnya. Sebungkus roti yang telah dihiris-hiris dan sebotol jem strawberi sudah tersedia di atas dulang keluli. Kedua-duanya berada di atas sebuah meja kayu berbentuk segi empat sama. Manakala di sebalah dulang keluli,setimbun majalah culup memancing pandangannya. Dalam timbunan yang agak tersusun,Furqan pasti ada  Al-Mujtuma',Al-Arabi,Al-Manar,dan Falestin Muslimah edisi terbaru dan masih belum dibaca. Dan disebelah timbunan majalah,ada akhbar Arab el-Youm bertarikh hari ini. Meluap-luap keinginannya untuk membaca. Tetapi denting jam dinding sebanyak lapan kali mendorong tangannya lebih dahulu mencapai alat kawalan jauh. Punat hijau ditekan dan televisyen pun mula bernyawa.

Berita perdana sedang ke udara. Pastinya berita utama Jordan seputar berita keluarga diraja liputan Al-Malik Abdullah merasmikan jambatan di selatan Jordan,Permaisuri Ranieh melawat rumah anak-anak yatim di Zarqa,Ratu Noor berucap di majlis konvokesyen sebuah kolej di Amman,sudah cukup menelan masa selama sepuluh minit.

Furqan mengeluh bosan dan menarik nafas panjang-panjang. Inilah rutin yang dihadapi setiap kali menonton berita perdana. Realiti yang harus diterima di sebuah negara monarki berparlimen. Rakyat terlalu taksub kepada raja.

Dia mencapai Al-Mujtama' bulan ini,sebetulnya mahu melarikan diri seketika daripada berita-berita yang menjemukan. Melihat sekali imbas ilustrasi muka depan sebelum menyelak  helaian demi helaian. Banyak yang menarik untuk dibaca.Kemudian dicapainya  Falestin Muslimah ,majalah politik yang memang sesuai dengan namanya. Lapan puluh peratus isinya membiacrakan isu-isu Palestin. Namun matanya tertumpu semula pada skrin televisyen yang sedang menyiarkan gambar-gambar lawatan  Madeleine Albright ke Asia Barat. Setiauasaha Negara Amerika Syarikat yang berskirt itu sedang bersalaman dengan Yasser Arafat dalam sebuah siri pertemuan sidang damai di Baitulmaqdis.

Furqan mendengus.Dia tidak pasti kunjungan wanita lebih separuh abad  itu kali ini yang ke berapa. Terlalu kerap,namun natijahnya tidak ada. Yang pasti,isu Palestin terus-terusan begitu. tidak pernah selesai.Dan rasanya tidak mungkin akan selesai.

Nenek tua yang nyanyuk. Biasanya itulah yang dijerit oleh Amir setiap kali terpandangkan Albright di mana-mana,baik ditelevisyen mahupun diakhbar. Semua akan tertawa apabila melihat telatah Amir. Barangkali Amir rasa terlalu meluat.Dan selalunya lelaki suku abad itu akan terus bercakap tentang tanah airnya selama beberapa minit. Mengulas apa sahaja isu semasa Asia Barat yang sedang hangat.

Furqan tersenyum sendiri mengenagkan Iqbal yang sering menambah ayat Amir itu dengan:Nenek tua beruban nyanyuk lagi menyibuk. Spontan pandangannya tertancap ke arah foto berbingkai yang tergantung di dinding di belakang televisyen. Gambar ceria mereka berempat itu di ambil tahun lepas.Kelihatan dirinya berdiri di sebelah Amir sambil tangannya merangkul bahu lelaki itu,sementara Syamir dan Iqbal dihadapan mereka mencangkung di atas batu yang berlatarbelakangkan pantai Laut Mati.Amir amat menyukai gambar itu lantas membesarkan dan membingkaikannya di situ.

Di sebelah bingkai itu pula tergantung gambar Masjidil Aqsa. Qubbah as-Sakhra berwarna kuning keemasan begitu meralit pandangan. semacam ada kedamaian menyusup ke hati jika ditenung lama. Seingatnya ,Amir melarang sesiapa menurunkan gambar itu semenjak dia tinggal di rumah ini. Lambang perjuangan ummah,tegasnya.

Suara burung kenari tiba-tiba memecah hening maghrib. Anak kenari yang bertenggek di atas pintu itu berdecit-decit sebanyak dua kali berturut-turut dalam tempoh lima saat.Furqan tersentak sebelum beristighfar berkali-kali. tentu mereka sudah pulang. Dia menggetap geram. Pastinya Syamir yang sering mengusiknya dan teman-teman di dalam rumah dengan sengaja menekan loceng itu lama-lama. Cukup nakal.

0 comments:

Design by Blogger Templates