SESEGAR NAILOFAR (BAB 3/3)

"Tapi aku nasihatkan,jangan sampai perkara ini sampai ke telinga Faroq," tutur Amir tiba-tiba. "Bergaduh pula kamu berdua nanti."
"Sebab apa? Faroq ada hati juga dengan dia?"
Iqbal begitu berminat untuk mengetahui.
Amir mengangguk. "Itu yang aku dengar. Tak tahu kalau Fur sama-sama nak masuk bertanding untuk merebut hati Ustazah Aisya Safira."
Ketawa kedua-duanya kian berdekah-dekah. Furqan cuma berupaya menahan telinganya sahaja.
"Furqan lawan Faroq bersamaan Johor lawan Kelantan. Kau rasa siapa akan menang?"
"Aku rasa kawan serumah kita yang akan menang."
"Alahai,kalau aku dapat orang macam Aisya,dahlah baik.... rupa pun boleh tahan. Cantik," komen Amir."Ada iras-iras siapa tu... yang dari seberang tu?"
"Yang mana satu?"
"Alah penyanyi genit yang muda lagi,tapi dah meninggal sebab kemalangan dulu tu..."
"Christine Hakim."
"Pandainya kau! Christine Hakim tu dah tualah,pelakon pula. Aku cakap penyanyi. Dia hidup lagi. Tersedak dia... kau kata dia dah mati."
Iqbal tertawa. Furqan juga mahu tergelak mendengarnya. Amir memang pelucu.
"Habis tu,siapa arwahnya?"
"Alah... siapa tu,susahnya nak sebut.. yang ada Dilla... Dilla di hujung namanya."
"Nike Ardilla."
Amir memetik jarinya."Sahih,tak dapat disangkalkan lagi! Memang sebiji!"
"Kau ni Amir,kalau cakap pasal perempuan kau selalu yang menang sampai terlupa tunang di kampung,"
tingkah Iqbal."Sedar sikit...kau tu sudah berpunya."
Ketawa mereka berdua pun berlanjutan. Furqan tenag mencapai sepotong lagi kek. Spontan dia teringat akan kampung halamannya. Rumah pusaka yang kosong ditinggalkan. Bagaimana agaknya khabar abang,kakak dan anak-anak saudaranya di Kuala Lumpur dan Johor Bahru? Hampir dua tahun dia tidak pulang. Suara pun hanya didengari lewat dicorong telefon. Rindunya terhadap keluarga di kampung tidak dapat dibendung lagi. Dan suatu nama itu juga yang menyapa ruang ingatannya.
Kenapa kau menyepi tanpa sebarang berita?
Dia menoleh ke arah telefon yang terletak di sudut kanan runag tamu,kira-kira semeter dari pintu kamar Iqbal.
"Fur tak kan telefon Ira selagi pengajian belum tamat. Cukup dengan surat."
"Eloklah begitu. Boleh berjimat cermat."
"Manusia dipegang pada katanya,Fur cuba berpegang kepada prinsip. Harap Ira tidak ambil hati."
"Masakan! Gunakanlah duit itu untuk perkara yang lebih bermanfaat."
"Betul?"
Gadis yang dipanggil Ira itu mengangguk.
Kini telah dua tahun suara gadis itu tidak di dengar. Furqan tegar bertahan. Tetapi tiga bulan yang mutakhir ini,surat-surat yang dinantikan tidak kunjung datang.
Sabarlah,sebelum berakhirnya Septamber nanti,aku akan kembali,bisik hatinya memujuk.
"Mana Aiman?" Furqan sengaja menukar topik setelah tawa mereka terhenti. Usik-mengusik memang telah menjadi penyeri rumah ini. Itulah selalu yang memeriahkan suasana, Tiada siapa pun yang ambil hati.
"Masuk bilik. Katanya badan kurang sedap. Aku rasa moodnya tak berapa baiklah hari ni.'
"Kau tak tanya?"
Geleng."Aku buat lawak pun dia tak ketawa."
Amir meneguk air mineral yang tertulis al-Kautsar pada botolnya. Iqbal mulai ralit menatap al-Mujtama.
Furqan kembali semula ke dapur,menyimpan baki kek ke dalam peti sejuk seraya mengelurakan ayam yang telah siap dipotong dan membasuhnya di singki. Kalau tadi dia asyik memikirkan tentang hadiah pemberian Aisya Safira,kali ini fikiran dia berpindah kepada Aiman yang tiba-tiba berubah tingkah laku. Sebelum ini Aiman jarang benar bersikap kurang bercakap. Dia petah dan peramah. Sikapnya yang periang jugalah yang menjadi salah satu penambah kemeriahan rumah ini.
Selama tiga tahun mengenali Aiman,lelaki itu dianggapnya pemuda Arab paling sempurna. Sepanjang empat tahun,di Jordan,belum pernah dia menemui seorang pemuda Arab sebayanya yang thiqah,tawaduk dan tabah seperti Aiman. Lelaki Palestin itu baginya terlalu baik.
Furqan masih ingat bagaimana mereka diperkenalkan dengan Aiman oleh Dr.Abdul Settar. Pensyarah Sastera Arab Moden yang memang menjadi "bapa angkat"nya sejak tahun satu itu suatu hari pada permulaan semester pertama tahun kedua memanggilnya dan Iqbal datang ke pejabatnya. Sewaktu mereka sampai,seorang pemuda Arab sudah ada di situ. Duduk di kerusi dengan sebuah beg besar di sisi,mata menunduk ke bawah lantai.
"Furqan,Iqbal. Hari ini aku mahu memperkenalkan kepada kamu berdua dengan seorang tokoh pejuang."
Bicara Dr.Abdul Settar sebagai muqadimah begitu mengejutkan mereka.


0 comments:

Design by Blogger Templates