SESEGAR NAILOFAR (BAB 4/2)

"Silap tu."
Furqan mengerut keningnya. "Habis tu?"
"Tanpa angin masakan pokok bergoyang."
"Itu tamsil Melayu. Engkau ingat lagi ya?"
"Kau yang ajar aku dulu. Tapi aku rasa tamsil Arab lebih tepat."
"Sebabnya? Aku mahukan sebab."
"Sebab aku fikir tanpa angin pun pokok tetap akan bergoyang. Misalnya ada beruk atau orang di atasnya,masakan pokok tak kan bergoyang.
Mereka sama-sama tergelak.
"Ertinya,tanpa hububan sahara,masakan debu berterbangan yang lebih tepat?" tokok Aiman lagi.
"Meskipun tanpa angin,di negara padang pasir,muka terkena debu juga."
"Ah,terkena debu tak apa.... asalkan jangan terkena tahi unta sudah."
Tawa terpancut lagi. Masing-masing geli hati mengenangkan peristiwa Amir terpijak tahi unta basah semasa berkelah di Laut Mati. Sejak itu,Amir cukup sensitif apabila berbicara soal unta. Kenangan itu walaupun melucukan,agak pahit baginya.
"Kau jumpa siapa di Amman semalam?" Furqan kembali kepada tujuan asal. Dia perasan Aiman cuba mengheretnya jauh dari topik lain.
Aiman membisu seketika. Angin segar masuk terus menggosok tengkuknya.
'Sepupuku,Amjad."
"Dari Palestin?"
Angguk.
"Melarikan diri?" Furqan cuba mencungkil. Mungkin cara ini akan merangsang Aiman untuk bercerita.
"Menurutnya begitulah....sedang di buru. Ejen Mossad mencarinya di sana. Dia anggota HAMAS,dapat suaka politik di sini."
"Sekarang di mana?"
"Sweileh. Menumpang di rumah kawannya di situ sejak tiga hari yang lalu."
"Keluarga kau macam mana? Tentu Amjad bawa khabar tentang mereka."
"Alhamdullilah. Mereka semua berkirim salam."
Furqan menjawab salam dan berpusing lalu menjengah ke luar. Kembali dia membiarkan bayu malam merempuh pipi. Bulan di langit dilihatnya seperti tadi. Masih terpersil. Tiada gumpalan awan yang berarak.
"Jadi tak ada masalahnya?" Dia berpaling menghadap Aiman.

0 comments:

Design by Blogger Templates