SESEGAR NAILOFAR (BAB 4/3)

"Entahlah.Susah aku nak cakap."
"Cakaplah. Apa dia?" desak Furqan.
"Sebenarnya...."
Ah,sulitnya untuk memberitahu! Hati Aiman berdetak. Dia sudah terlalu banyak menyusahkan mereka. Malah mereka sudah terlalu kerap menghulurkan simpati. Biarlah perkara ini,walaupun agak menganggu,ditanggungnya sendiri. Tetapi mengingatkan hakikat yang harus dia terima,serta-merta dadanya digempur sebak.
Furqan terdiam memerhatikan,menantikan luahan selanjutnya.
Aiman cuba menahan air matanya dari berguguran di hadapan sahabatnya itu. Pandangannya dibuang ke dinding kosong.
"Sebenarnya apa?"
"Abang aku.... abang aku ditangkap oleh Yahudi. Lirih suara Aiman menuturkan.
Furqan menghala nafas. Hatinya berasa hiba melihat Aiman menggigit bibir mengekang air mata yang mahu merempuh keluar. Tidak sekali-kali dia benarkan air mata berharga itu mengalir di pipi. Pertama kali Aiman dilihatnya berkeadaan begini. Dia merapati teman serumah yang dianggap seperti saudara sendiri itu lalu memeluknya erat.
"Banyakkan bersabar sahabat. Pejuang tak boleh menangis.
"Aku tak menangis. Aku tak kan menangis."
Suasana dibiarkannya khali sementara Aiman mengawal perasaan.
"Rasanya mahu saja aku pulang untuk lawan Yahudi."
"Abang kau belum tentu sudah mati. Dia cuma ditahankan?"
"Ah,disumbat ke dalam Sijin Harbie...samalah seperti sudah mati.!"
Sijin Harbie?Furqan ternganga mendengar nama penjara yang paling ditakuti dimana-mana. Berpuluh ribu anggota IKHWANUL MUSLIMIN di Mesir pernah ditahan di penjara puaka bernama Sijin Harbie. As-Syahid Sayid Qutb juga.
"Medan kau sekarang di sini."
Aiman menunduk. Mukanya ditekup.
"Jangan lemah semangat. Kau dihantar keluarga untuk belajar. Ini juga jihad. Kami akan cuba membantu kau,percayalah."
Aiman menggeleng. Pelukan terlerai.
"Kalian sudah terlalu banyak menolong aku."
"Jangan fikirkan soal itu.Sekarang,kau kena lapangkan fikiran. Bersedia untuk imtihan lusa."
"Aku tak berapa yakin dengan keadaan aku begini!"
"Aiman,kau kan lelaki yang kuat." Furqan meniupkan semangat kembali kepada sahabatnya yang dari Palestin itu. Bahu lelaki itu ditepuknya dengan kuat. Seketika pandangan mereka bertentangan. Mata furqan menghulurkan sejumlah keyakinan. Dia menanti Aiman beroleh kekuatan.
"Aiwah...macam tulah. Sekarang kau mula mutalaah . Aku pun nak sambung membaca." Furqan bingkas berdiri dan melangkah ke pintu.
"Mengapa Furqan?" tanya Aiman ketika Furqan sudah hampir keluar.
"Mengapa apa?"
"Mengapa kalian begitu baik terhadap aku?"
"Aiman,umat Islam ibarat satu tubuh. Jika dicubit yang di atas,yang di bawah juga akan turut terasa sakitnya. Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara. Jihad kalian,jihad kami juga."


0 comments:

Design by Blogger Templates