SESEGAR NAILOFAR (BAB 5)

Di hadapan Bab al-Gharbie berdekatan Kulliyyah Iktisad agak sesak. Kenderaan tunda-menunda.Bunyi enjin yang bercampur dengan bunyi hon cukup membingitkan suasana. Gelak tawa kelompok pelajar sosial di hadapan Cottage Pizza Cafe dan beberapa buah kafe siber betul-betul di seberang pintu masuk itu tambah menyakitkan telinga.
Furqan keluar dari Orbit Internet Cafe. Suria tepat di atas kepala. Tanpa lengah,dia terus membelah jalan,menyelinap di celah-celah kenderaan yang bergerak perlahan-lahan sebelum tiba di pintu masuk jihat barat itu. Pelajar berpusu-pusu masuk sama banyak dengan berpusu-pusu keluar. Dia terpaksa  berjeda seketika menanti pintu selebar satu meter itu lenggang. Sempat dia mengerling gambar Almarhum Raja Hussein dan Raja Abdullah yang terpampang pada bumbung pos pengawal pintu masuk. 'Aasya al-Malik(Hidup Tuanku).Begitu tulisan berwarna merah tertera di bawah gambar.
Kulliyyah Iktisad di sebelah kanan. Bangunan Syu'un Tholabah(Hal Ehwal Pelajar) di sebelah kiri. Hatinya berbelah bahagi. Mahu terus ke kafetaria atau singgah dahulu di pejabat pos? Janjinya dengan rakan-rakan exco lelaki jam 11.30. Ada lagi lima belas minit. Akhirnya dia menghala ke kiri. Keinginannya untuk mengintai isi peti surat yang hampir tiga minggu tidak dijenguknya lebih mendorong. Lazimnya Iqbal atau Amir yang selalu ke mari. Kaki terus melangkah. Lebih seratus meter di hadapan,Masjid Universiti Yarmouk berdiri gagah dan di sebelahnya terbina Perpustakaan Universiti setinggi empat tingkat.

0 comments:

Design by Blogger Templates