SESEGAR NAILOFAR (BAB 5/1)


Kedua-duanya cuma dipisahkan oleh  satu lorong. Inilah dua kebanggaan ini yang sukar ditandingi oelh mana-mana university di Jordan. Masjidnya yang besar dan luas serta memiliki seorang imam hafiz  yang masyur,Syeikh Ma’mun al-Syamali,dengan suaranya yang memikat pendengar. Perpustakaan Universiti Yarmouk pula merupakan antara perpustakaan yang terbesar di negara ini.
Sewaktu berselisih dengan beberapa orang siswi Melayu di Dataran Syu’un Tholabah ingatannya tiba-tiba terhantar semula kepada e-mel yang baru diterimanya sebentar tadi. E-mel padat ringkas dan sedemikian lembut itu lekas pula melekat dalam cepu ingatannya.
Furqan,
Maaf kerana menambah sesak kantung e-melmu.
Moga semester terakhir ini lebih bermakna buatmu.
-NAILOFAR-
Siapa? Dari mana? Soalan-soalan itu mengasak-asak benaknya. Sejak menggunakan e-mel lebih setahun yang lalu,inilah kali pertama dia menerima surat yang pengirimnya tidak diketahui. Dan ini jugalah kali pertama seorang perempuan ‘asing’ cuba mengutusinya melalui wasilah ini.
Nailofar. Perempuan mana? Perempuankah? Sepanjang hampir empat tahun di Jordan,belum pernah dia mendengar perempuan Melayu bernama Nailofar.
Nailofar!Nailofar!Nailofar!
Furqan cuba mengingati sesuatu. Rasanya dia pernah mendengar perkataan itu. Tetapi di mana? Cepu mindanya gagal mengesan.
Ah,pedulikan!
Dia mengambil keputusan untuk melupakannya. Banyak hal lagi yang menuntut difikirkan.
Tiba di peti surat bernombor 2077,dia mengintai menerusi lubang kecil,melihat isinya.
Kosong.
Sudah lupakah dia padaku? Lebih tiga bulan tanpa sebarang khabar berita. Tahukah engkau,alangkah seksanya.
Dia memandang peti surat yang hanya sebesar kotak kasut itu beberapa detik sebelum menuju ke kafetaria Kulliyyah Adab yang terletak di tengah-tengah kampus. Wajah Syahira yang acap kali menerjah ruang fikirannya akhir-akhir ini cuba dibuang. Dia tidak mahu ingatannya terlalu kuat dan penantiannya yang belum tentu kesudahannya ini mengganggu tugasnya yang Cuma tinggal beberapa minggu lagi. Matanya dikejip-kejip. Langkah kakinya terus diatur menuju sasaran.
Mus’ab dan Sollehhuddin sudah menunggu apabila dia tiba di kafetaria. Iqbal,Syuib,Nik Aminnuddin dan Faroq juga ada. Cuma Khairul Azhar,Hambali dan Ridhwan tidak kelihatan. Barangkali ada kuliah. Masing-masing sedang menghadap jus oren dan beberapa keping kek. Furqan membeli segelas minuman berkarbonat dan duduk disebelah Mus’ab. Mereka mengisi sebuah meja yang rapat ke tingkat di sudut kanan kafetaria.
“Nak dimulakan sekarang atau tunggu mereka bertiga sampai?”Iqbal meminta pendapat. Matanya menatap satu demi satu wajah yang ada di sekeliling mejasegi empat sama itu..
“Jam satu kami ada kuliah,”balas Faroq dan turut diiyakan oleh Nik Aminnuddin.
“Aku pun ada janji dengan Aisya Safira pada jam yang sama.”Mus’ab menokok.
Iqbal mengulum senyuman mendengar nama itu lantas mengerling kepada Furqan yang duduk bersetentangan dengannya. Furqan menjeling kepada Faroq yang turut tersenyum apabila nama itu disebut.
“Aku fikir kita buat ringkas sahaja.”Furqan memberikan pandangan.”Yang penting musyawwarah. Berkatnya yang kita nak cari.

0 comments:

Design by Blogger Templates