SESEGAR NAILOFAR (BAB 5/3


“Semua pihak menyalahkan kita ,awak tau?”
“Adakah kita yang bersalah?”
Dia kadang-kadang berang dengan sikap insan  yang mudah terkesan akibat tekanan.
Dia dapat mengagak,ketua siswi itu tertekan oleh suara-suara sumbang. Dia dan Iqbal juga tertekan sebenarnya apabila dituduh bena tak bena terhadap kes ini. Walhal,mereka berdua mengambil keputusan menangguhkan pengedaran pekeliling melihatkan masalah ini belum benar-benar meruncing. Masih boleh diselesaikan dengan siasatan yang licin. Lagipun pekeliling akan melibatkan soal maruah.
“Habis dah nak masuk seminggu,PERMAI seolah-olah tidak berbuat apa-apa!”
“PERMAI tak buat apa-apa?Kita boleh saja keluarkan pekeliling,bila-bila masa,tapi siapa yang akan menanggung malu? Setakat ni syukurlah siswa belum tahu. Sekarang pun ahli rumah Mastura dah tak sanggup menutup telinga.”
Furqan menambah lagi tatkala pensyarah yang dinantinya sejak tadi sudah sampai di situ. Tangan lelaki itu menjijit kertas-kertas peperiksaan.
“Saya nak cakap banyak lagi,tapi pensyarah dah datang. Doakanlah saya lulus dengan cemerlang.”
Saffiya terpinga-pinga. Furqan menzahirkan senyum sambil menjeling kepada Aisya Safira yang spontan mendongak memandangnya.
“Anta,anta ada imtihan?” Tanya Saffiya.
Furqan mengangguk. “Ya,tak habis lagi yang saudari Saffiya nak luahkan? Tak apalah saya masuk lewat sedikit. Saya sedia mendengar.”
Wajah Saffiya yang gamma berganti dengan wajah Syahira. Dua perempuan inilah yang sedang mendera perasaannya.
“Sampai sana,jangan lupa tulis surat. Paling malas,sebulan sekali selucuk surat akan sampai ke tangan Ira….seperti sebelum ini.”
“Janji?”
“Aku tak berani berjanji,cukuplah dengan insya-Allah. Cuma balasan Ira yang Fur ragukan.”
“Ragukan Ira?”
Dia melihat kemuraman wajah si gadis apabila dipersoalkan kesetiaannya.
“Ya,Irakan pemalas tulis surat? Tiga surat Fur,Ira baru balas satu .3-1,mana adil?” Usikan itu menggedikkan hati Syahira lantas membuatkannya tertawa. Lesung pipit di pipi kanannya terserlah jelas. Alangkah indahnya!
“Ira juga janji akan tulis sebulan sekali. Satu balas satu. Baru adil.”
“Janji?”
“Mestilah!” Tegas Syahira sambil menguntumkan senyuman.
“Sebulan sekali? Sekarang sudah lebih tiga bulan tanpa sepucuk pun perutusan daripadamu yang bertandang ke kantung suratku! Tidak padamkah lagi hasrat mahu menguji?
“Ya,saudara Furqan,mengapa asyik mengeluh saja,ada idea bernas untuk kita berkongsi sebelum kita mengakhiri majlis ini?”
“Hm…”
Sollehuddin menyikunya. Furqan tersentak.
“Tak ada. Terima kasih.”
Pertemuan tidak rasmi mereka sudahi dengan Tasbih Kaffarah dan Surah al-Asr itu hanya mendebgar empat patah sahaja dari mulutnya.

0 comments:

Design by Blogger Templates