SESEGAR NAILOFAR BAB 6


Sudah lima hari  usaha mengesan kehilangan Mastura berjalan. Natijah pencariannya masih sifar. Dia telah menghubungi Persatuan Mahasiswa Malaysia Mafraq(PRISMA),Persatuan Mahasiswa Malaysia Amman(PRIMMA),Persatuan Mahasiswa Malaysia Mu’tah(PERMATA) dan beberapa kelompok pelajar Melayu agak besar di Universiti Philadelphia dan Universiti Hashimiah beberapa kali. Maklum balas masing-masing amat mengecewakan. Gadis itu tidak pernah dilihat muncul di mana-mana.
Tambah mengecewakan Furqan,semakin ramai siswi mempertikaikan kredebiliti PERMAI. Seolah-olah mereka tidak berbuat apa-apa. Kadangkala hatinya geram melihat sikap segelintir siswi dan terus mengingatkannya kepada tindakan Saffiya ‘menyerangnya’ kelmarin. Mereka sewajarnya saling member I sokongan dan bekerjasama.
Isyak lima minit lagi akan masuk,tetapi Furqan sudah mengatur langkahnya menuju ke masjid. Kitab Tahzim Sirah Ibn Hisyam karangan Ibn Hisyam sendiri didakap erat ke dada. Malam ini kelas pengajian Sirah Nabawiyyah anjuran PERMAI akan bermula. Dia telah meminta Mus’ab dan Solehuddin selaku exco Biro Perhubungan dan Biro Ilmiah menyebarkan iklan ke setiap rumah sejak dua hari yang lalu. Harap malam pertama ini sambutannya menggalakkan.
“Terima kasih sebab membantu meringankan tugas-tugas ana.” Mus’ab mengucapkannya selepas mereka bermesyuarat di kafetaria kelmarin. “Sepatutnya ana yang merancangkan semua ini.”
“Tak mengapa… lagipun ana suka kerja-kerja macam ni. Ana harap anta tak berkecil hati.” Dia cuba mengambil hati Mus’ab,Exco Biro Ilmiah yang berada di tahun tiga Kulliyyah Syariah. Bimbang juga dituduh anak buahnya’memandai sendiri’ walaupun portfolio sebagai setiausaha agung membolehkan melakukan pelbagai tugas dan bebas membantu biro-biro.
“Masakan!”
“Kalau begitu,baguslah. Ana tau,anta begitu sibuk dengan penyelenggaraan kelas-kelas tambahan untuk para pelajar yang bermasalah.” Dia mengerling kea rah Iqbal yang sedang berbual dengan Syuib. “Jadi ana dan presiden cuba menolong mana-mana yang patut supaya kebajikan ilmiah terhadap pelajar lain tidak teranai. Budaya belajar halaqah ni besar fadilatnya. Dulu dah ada,terhenti sekejap,eloklah kita mulakannya semula.
“Allah jua yang membalas usaha anta ni,Fur. Anta buat ana terharu. Walaupun tinggal beberapa minggu saja lagi di sini,tapi masih sempat berbuat sesuatu untuk PERMAI.”
“Untuk Islam.” Dia membetulkan.
“Ya,untuk Islam.”
Sebuah kereta meluncur agak laju dari arah depan. Furqan terpaksa berjalan ke tepi sedikit. Dia dapat melihat dari jarak 250 meter di depan menara Masjid Duwar Nasiem dihiasi beberapa batang lampu kalimantang yang berwarna hijau. Kebanyakkan masjid di negara ini memilih lampu menara berwarna hijau selain warna putih untuk dinyalakan pada malam hari.
Sebentar lagi azan akan berkumandang dari menara itu. Selalunya Abu Munzir yang menjadi muezzin pada waktu isyak kerana bilal tinggal agak jauh dari masjid. Imam buta itu jarang tiba lewat di masjid ketika waktu apa pun. Biasanya dia ditemani anaknya Baha’ untuk ke mana-mana,tetapi kerap juga dilihatnya Abu Munzir bertongkat seorang diri ke masjid. Dipandu dengan mata hatinya sendiri.
Furqan terlalu menyanyangi lelaki buta itu. Abu Munzir,merupakan seorang guru sekaligus mursyidnya telah banyak mencurahkan ilmu kepada pelajar Melayu. Sejak dua tahun yang lalu,dia dan Iqbal mendampingi orang tua itu untuk mempelajari pelbagai ilmu,terutama sirah,hadis fitan,dan tarikh. Sebelum menjadi buta,Abu Munzir berjaya memiliki sarjana dalam bidang Tarikh Islami dari Universiti Damsyik. Tetapi hairan mengapa thaqafahnya begitu mantap. Tetapi sakit mata yang kronik kira-kira dua puluh tahun yang lalu meragut penglihatannya.
Langkahnya tambah laju. Ramaikah pelajar yang datang pada malam ini?
Kebiasaannya jika kelas pengajian seperti ini dibuka,siswi yang akan hadir lebih ramai daripada siswa. Mereka jarang melepaskan  peluang sebegini lantaran kurag berkesempatan untuk ke mana-mana berguru dengan sesiapa sebagaimana lelaki,disamping faktor keselamatan yang menjadi penghalang melainkan jika beberapa pensyarah yang sudi meluangkan masa mengadakan kelas tafaquh untuk pelajar-pelajar Melayu. Dahulu memang telah diadakan di masjid university,malangnya sekarang kebanyakkan pensyarah yang berasal dari Iraq kurang selesa dengan sikap curiga berlebihan yang ditunjukkan oleh pihak berkuasa,lantas menangguhkan kelas-kelas yang sedang berjalan.
Ramaikah siswa yang akan hadir pad malam ini?
Pulang daripada kuliah zuhur tadi,dia sempat menegur Aisya Safira yang kebetulan baru selesai kuliah. Gadis jurusan Bahasa dan Sastera Arab sepertinya itu memakai jubah biru tua yang disesuaikan dengan tudung labuh dan niqob berwarna putih.
Ketenangan seperti biasa tergambar di sebalik sehelai niqob itu.
“Bagaimana imtihan kelmarin?” Aisya Safira lebih dahulu bertanya.
“Alhamdullilah. Pensyarah baik hati.” Tangannya dimasukkan ke dalam poket. “Lagipun maddah tahun satu sengaja disimpan untuk semester ini,senanglah sikit.”
Furqan tersenyum sendiri. Tarikh al-Hadharah sengaja diambilnya awal-awal. Disimpan untuk semester terakhir. Yang payah selalu didahulukan agar tidak terlalu tertekan pada akhir pengajian. Itu strateginya.
“Kami mohon maaf sebab ganggu Furqan sebelum imtihan.”
“Biasa saja. Saya tak rasa terganggu pun.”
Beberapa orang pelajar Arab lalu-lalang,malah ada yang di ruang legar Kulliyyah Adab itu agak bising. Ada juga pelajar Melayu yang melintas dan sempat memandang kea rah mereka berdua. Furqan dapat merasakan bahawa Aisya Safira kurang selesa dengan keadaan itu.
“Kami tidak sepatutnya buat macam tu.”
Furqan diam dan membiarkan gadis itu berbicara.
“Yalah,Furqan sedang tumpukan untuk imtihan,kami pula datang dan cakap yang bukan-bukan. Kami rasa cukup bersalah.
“Saya faham. Saffiya kelmarin mungkin tertekan. Tak apalah,biarlah saya yang jadi pendengar. Ya,mungkin juga saya dan Iqbal yang banyak bersalah hingga Mastura masih gagal ditemui. Kami lembap. Dah nak khirrij ni pun masih tak tau buat kerja.”
Nadanya agak merendah. Ada waktunya seseorang itu memang perlu akur dengan kelemahan diri sendiri. Aku manusia daif yang serba kekurangan,bisik kalbunya.
Furqan melihat gadis sopan di hadapannya menunduk,mendakap erat buku nota berkulit tebal yang dibawa. Apakah dia diterpa rasa bersalah oleh kata-katanya tadi?
“Aisya….”
Gadis itu mendongak. Sedetik mata mereka berlaga sebelum masing-masing  melarikan pandangan. Gamam seketika.
“Tukar mauduk lain. Saya serabut memikirkan masalah ini. Cubalah kita bercakap perkara yang tidak menimbulkan ketegangan,”sambung Furqan,selanjutnya berdehem beberapa kali.”Em… saya harap sambutan mala mini menggalakkan.”
“Er…Sambutan apa?” Aisya Safira sedikit gugup.
“Kelas talaqqi. Dah lupa atau belum dipromosikan?”
“Oh,yang itu…alhamdullilah. Saya dan Athira serta AJK kami dah sebarkan pun. Tengok sajalah malam ni,ramai atau tidak yang akan datang.”
“Harap siswi ramailah daripada siswa kali ni. Selalunya siswa lebih berminat ke majlis ilmu begini.” Furqan sengaja menciptakan provokasi. Ingin mengiji kesabaran gadis ini. Lebih tepat lagi ingin membuang resah yang melandanya.
“Furqan fikir siswi kita ni malas sangat ke?”
“Setahu saya siswi lebih suka ke majlis-majlis yang ada persembahan. . Yang ada pantomime,yang ada nasyid misalnya….”
“Mana Furqan tahu?” Pintas Aisya Safira.
“Alah…kalau Usrah al-Firdaus buat konsert nasyid semua akan pergi. Tak ada yang tertinggal.”
“Mana Ustaz Furqan tahu?”
Furqan tergelak dalam hati. Perkataan ‘ustaz’ itu sengaja ditekankan. Gadis ini tidak pernah serius sebelumnya. Jelaslah provokasinya bersahut.
“Saya ada mata dan telinga.”
“Kita tengoklah malam ni,siapa yang lebih ramai.”
Masjid kian hampir. Tepat jangkaannya. Suara parau Abu Munzir berkumandang menjelajahi ruang udara Duwar Nasiem sebaik sahaja dia memasuki pintu gerbang masjd yang berdiri di sebelah makam Abu Farouk,pengasa kariah ini.
Masjid Duwar Nasiem mulai menghimpunkan manusia semula.
Selesai menunaikan sunat ba’diyah isyak,tatkala jemaah mulai surut,Abu Munzir dikelilingi dua puluh pelajar lelaki Melayu yang membentuk bulatan. Lebih kurang tiga meter di belakang puluhan siswi yang turut hadir duduk bersimpuh sambil menantikan syeikh itu memulakan pengajaran. Abu Munzir duduk di atas sebuah kerusi kayu sambil tangannya memmegang tongkat,diapit oleh Furqan dan Iqbal di kiri kanannya.
Furqan sedar provokasi siang tadi membuahkan hasil. Harapannya untuk melihat sambutan yang menggalakkan terhadap kelas-kelas tafaqquh seperti ini terkabul. Mudah-mudahan fenomena ini akan berterusan dan bertambah baik walaupun dia telah tiada nanti. Barangkali Aisya Safira berkempen habis-habisan mengajak kawan-kawannya hadir untuk memastikan dirinya di pihak yang menang.
Iqbal selaku Presiden PERMAI memberikan kata-kata aluan. Sesudah itu,Abu Munzir mengucapkan sedikit muqadimah dan menyatakan manhaj pengajarannya. Seperti biasa,matan kitab akan dibacakan oleh pelajar dan akan diikuti oleh syeikh. Suara kasarnya ditambah bahasa Arab yang fasih memudahkan para pelajar menangkap setiap kalimat.
Pengajian Tahzib Sirah Ibn Hisyam baru bermula sepuluh minit,sebelum Aiman tiba-tiba dalam keadaan termengah-mengah muncul di hadapan pintu,memanggil Furqan.
“Ada apa?”
“Telefon. Ada perempuan telefon,nak bercakap dengan kau. Sekarang!”
Furqan tergamam seketika. Siapa? Perempuan mana?
“Perempuan Arab,”tambah Aiman lagi.
Furqan segera menyarung sandalnya. Akal masih tidak dapat meneka. Dadanya berdegup kencang. Majlis ilmu terpaksa ditinggalkan.

0 comments:

Design by Blogger Templates