SESEGAR NAILOFAR BAB 7/2

Mereka bersalaman sebelum duduk bersila di ruang tamu. Ustaz Abu Yassier hilang di dapur,barangkali meminta isterinya Ustazah Ummu Humairah menyediakan sesuatu.
Seketika sepi. Pandangan masing-masing mengitari ruang tamu rumah Ustaz Abu Yassier yang begitu seadanya. Tiada sofa lembut melainkan satu hamparan permaidani buatan Syria yang menjadi alas duduk. Ada rak setinggi dua meter berisi kitab-kitab pelbagai jenis. Di sudut kanan,sebuah radio terletak di atas sebuah meja yang turut dipenuhi dengan timbunan kitab kelihatan masih baru.Ketara,keluarga ini hidup dengan penuh zuhud. Ilmu lebih diutamakan daripada perhiasan.
Spontan terlintas dalam kepala Furqan hadis Nabi yang berbunyi:Dunia itu perhiasan,dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah.Melihat kepada sahsiah Ustazah Ummu Humairah selama dia mengenali keluarga kecil ini,dia yakin Ustaz Abu Yassier mempunyai perhiasan yang amat bernilai. Alangkah beruntungnya Ustaz Abu Yassier! Patutlah lelaki itu tidak terlalu mengejar perhiasan dunia sebaliknya mengejar ilmu.
Bapa kepada dua orang anak ini muncul semula dan duduk di sebelah Furqan.
Mana Yassier dan Humairah,ustaz? Senyap saja rumah ni."
"Dah tidur pun. Letihlah tu,sepetang berjalan di Amman tadi."
"Ustaz ke Amman?"
"Borong kitab. Kebetulan biasiswa ana baru sampai."
"Ada kitab baru ustaz?"
"Taklah banyak sangat,tapi adalah juga beberapa terbitan terbaru Muassasah ar-Risalah dari Damsyik. Antum dah beli kitab baru Dr. Abdul Karim Zaidan?"
"Kitab baru Dr.Abdul Karim Zaidan? Apa judulnya?" Furqan menunjukkan minat. Banyak kitab ulama itu yang dimiliki olehnya. Kalau ada yang terkini,dia tidak bertangguh untuk mencari. Siapa tidak kenal dengan Dr.Abdul Karim Zaidan? Penulis Ensklopedia Hukum-hakam wanita dan Rumah Tangga Islam. Namanya sebaris dengan Dr.Yusof al-Qardhawi.
"Al-Mustafad min Qasasil Qur'ani il...li Du'ah.Bagus kitabnya tau."
"Kitab baru tu." Iqbal mengakuinya. "Memang kami belum beli. Mana kitabnya ustaz?"
"Nanti kejap ana ambil." Pelajar peringkat sarjana Tarbiah Islamiyyah itu bingkas bangun melangkah beberapa tapak ke meja yang dipenuhi dengan tinbunan kitab.
"Rasanya pernah dengar judulnya. Ya,kalau tak silap saya ada belek sekejap di Maktabah ar-Risalah minggu lepas ." Syuib mencelah."Bagus isinya saya tengok. Cuma....
"Cuma apa?" Ustaz Abu Yassier kehairanan.
"Cuma tak ada duit nak beli,"jelas Syuib dalam nada bersahaja.
Ustaz Abu Yassier yang sudah mencapai Al-Mustafad di atas meja menekup mulutnya menahan tawa. Furqan dan Iqbal serentak tergelak sambil menggeleng-geleng. Lawak lelaki ini memang selalu menjadi.
"Anta ni Syuib,ada-ada saja."
"Biasa saja ustaz." Syuib menyeloroh..."Er...kami datang ni dengan membawa hajat,ustaz." Selanya  sebagai muqadimah perbincangannya.
"Hajat? Siapa yang berhajat?"
Ustaz Abu Yassier duduk semula,memandang wajah mereka bertiga. Ketawa meletus semula. Masing-masing lekas menangkap apa yang dimaksudkan. Memang menjadi suatu budaya pelajar Malaysia di Timur Tengah akan menemui mutazawwij untuk menyatakan hajat sekiranya mereka ingin merisik seorang gadis. Biasanya pasangan suami isteri ini akan menjadi wasitah di antara siswa dan siswi yang terbabit sehinggalah mereka berlangsungnya pertunangan. Mereka ibarat pengganti ibu bapa di rumah dalam proses membina bait muslim di sini.
"Kamu berhajatkan siapa Syuib?" Lurus sahaja pertanyaan Ustaz Abu Yassier."Ana boleh uruskan. Ramai lagi akhawat kita yang belum berpunya."
Mereka bertiga serentak ketawa lagi.
"Bukan hajat itu ustaz."
"Habis?"
Syuib menepuk paha Furqan,manakala Iqbal sedikit ralit membelek Al-Mustafad.
"Kami nak minta nasihat ustaz sikit berhubung dengan masalah yang dihadapi PERMAI la ni."
"Tentang Mastura ke?"
Angguk.
"Kami yakin ustaz dah tau keseluruhan ceritanya ..... cuma ada sedikit perkembangan terbaru."
"Antum dapat kesan di mana keberadaan dia sekarang?"
Furqan tersenyum. Kepalanya dianggukkan. Sempat dia mengelih jam di tangan. Lima belas minit lagi jam sebelas.
"Begini ustaz."Furqan segera memerihalkan perkembangan terbaru yang mereka ketahui lewat isyak tadi selengkapnya. Iqbal dan Syuib menokok mana-mana yang kurang. Ustaz Aby Yassier yang telah dua penggal menjadi Penasihat PERMAI itu mengangguk-angguk.
"Jadi?"
"Kami datang nak minta buah fikiran ustaz."
Terdengar bunyi ketukan yang lembut di pintu menghala ke dapur. Barangkali Ustazah Ummu Humairah yang memanggil.
"Sebentar ya." Ustaz Abu Yassier hilang di sebalik langsir pintu sebelum muncul semula menatang dulang berisi empat biji cawan,teko dan sepiring jejemput pisang.
"Jemputlah makan."
"Antum dah minta pandangan penasihat-penasihat lain?" sambung Ustaz Abu Yassier sejurus selepas meneguk air kopinya yang beransur suam.
"Masa dah tak ada ustaz,tak sempat. Kami ingat malam ni juga kita kena buat keputusan,esok terus ambil tindakan,"ujar Iqbal.
Suasana terbiar khali seketika. Masing -masing berfikir. Furqan berselawat beberapa kali sambil matanya tamakninah merenung air kopi yang masih tersisa di dalam cawan. Asap nipis sudah sirna.
"Saya baru ternampak satu jalan." Furqan bersuara tiba-tiba. Semua pandangan tertumpu ke arahnya.

0 comments:

Design by Blogger Templates