SESEGAR NAILOFAR BAB 8

Hyundai hijau berjaya melepasi persimpangan al-Husn sebelum lampu isyarat sempat bertukar warna. Coaster di belakang gagal mengekor jejak,terpaksa berhenti apabila lampu isyarat bertukar warna merah menyala. Iqbal menarik nafas lega. Kawasan pekan yang sesak dengan kereta pada awal pagi,ditambah dengan lampu isyarat yang agak banyak,selalu sahaja melambatkan perjalanan sudah ditinggalkan. Dia mulai memandu dengan kelajuan biasa.
Furqan memainkan nasyid untuk menghilangkan ngantuk. Suara Sami Yusof mengalunkan lagu sengaja dipasang perlahan agar tidak terlalu menganggu ketenteraman perjalanan Ustaz Abu Yassier dan Ustazah Ummu Humairah yang mengisi tempat duduk belakang berbual-bual perlahan. Yassier dan Humairah ditinggalkan di bawah jagaan beberapa orang siswi yang tinggal berjiran dengan mereka.
Akhbar As-Sabeel yang sempat dibelinya di stesen minyak tadi ditatap. Jarang sekali dia terlupa membeli tabloid ini setiap hari khamis . Perkembangan mutakhir dunia Islam dan Arab ada dalam lidah rasmi Ikhwanul Muslimin ini. Berita utama muka depan memuatkan liputan tentang dua pemuda Palestin terbunuh di Rafat dekat Ramallah dalam tunjuk perasaan. Walaupun beritanya terlalu biasa ,tetapi Furqan berasa sayu menatap gambar ibu salah seorang mangsa yang sedang menangis di sisi jenazah anaknya. Rengusnya terdengar di hujung helaan nafas.
Yang lain-lain meskipun tidak beberapa menarik dibacanya juga. Namun berita oleh pemerhati politik Ikhwan di muka surat enam dibacanya sebanyak dua kali.
"Apa yang menarik?"tanya Iqbal yang sempat menangkap keluhan yang berat oleh sahabatnya itu.
"Nenek tua Yahudi yang nyayuk tu menyibuk lagi."
"Yahudi tua tu? Apa nak dibuatnya?"
"Cuba ganggu hubungan baik Kerajaan Jordan dengan pejuang HAMAS. Washington khabarnya memberi isyarat akan menghentikan sokongan Dolar terhadap Dinar sekiranya Amman terus-terusan melindungi HAMAS. Kalau mahu kekal tinggi,hentikan suaka politik terhadap HAMAS.
"Bedebah betul!" gerutu Iqbal.
"Sampai tahap macm tu sekali?" ustaz Abu Yassier bersuara dan turut mencelah dengan perbualan mereka berdua.
"Yahudi punya kerja ustaz,sukar kita nak jangka. Sungguh licik."
"Aiman tentu tak senang duduk kalau membaca berita ini,"desis Furqan.
Dia teringatkan Aiman yang jelas keresahan minggu ini sejak abangnya ditangkap polis Yahudi. Mujurlah lelaki itu kuat dan dapat menghadapi imtihan dengan tenang walaupun jiwanya berkecamuk. Awal pagi tadi Aiman telah keluar ke Amman menziarahi sepupunya di Sweileh. Apakah perkembangan terbaru ini akan menggugat konsentrasi pengajiannya lagi? Mudah-mudahan tidak.

0 comments:

Design by Blogger Templates