:: Indahnya Menjadi Yang Pertama ::

“Wahai Rasul utusan Allah, tiada lagi harta dan hal lainnya yang bersamaku untuk aku sumbangkan demi dakwah. Andai selepas kematianku, tulang-tulangku mampu ditukar dengan dinar dan dirham, maka gunakanlah tulang-tulangku demi kepentingan dakwah yang panjang ini.

Itulah kalimat agung yang menggambarkan hakikat tajarrud (penyerahan total) yang tinggi kepada perjuangan yang diimani.

Ungkapan yang menyebabkan Ruhul Amin bergetar lantas segera naik bertemu dengan Allah swt,

Jibril bertanya: Ya Allah, tidakkah Kau mendengar kata-kata itu?


Allah menjawab: Bukan hanya kata-katanya sahaja yang Aku dengari malah bisikannya juga. Jibril, sampaikanlah salam Aku kepadanya.

Alangkah hebatnya insan ini hingga Allah sendiri mengirim salam sejahtera kepadanya .Siapakah dia dan apakah keistimewaannya hingga terpilih untuk mendapat kehormatan sebegini?

Beliaulah wanita pertama, bahkan insan pertama yang meyakinkan pembawa risalah akan kebenaran agama ini. Yang pertama menyatakan kesediaan untuk berkorban dan menyerah segala-galanya semata-mata mempertahankan kebangkitan ajaran suci ini. Beliaulah Khadijah binti Khuwailid, wanita tersohor di zamannya yang mendampingi pembawa risalah untuk umat akhir zaman ini.




Tujuan penulisan ini bukanlah sekadar untuk kita mengenang dan menangisi pemergian beliau, bukan juga hanya untuk menceritakan riwayat hidup beliau yang sememangnya sudah dihadam oleh kebanyakan kita, tetapi tujuan penulisan ini ditulis adalah untuk mengajak pembaca untuk menjadi yang pertama!

Mari menjadi yang pertama.

Kerana merupakan yang pertama berimanlah yang menjadikan beliau yang pertama menerima khabar gembira dijamin sebagai ahli syurga serta mendapat penghormatan dan gelaran ummul mukminin, di mana beliau adalah penghulu seluruh wanita di dunia ini dan di dalam jannatul firdaus nanti.

Diriwayatkan oleh al-Bazzaar dan at-Thabraani daripada Ammar bin Yasir, Rasullulah S.A.W bersabda,

Khadijah melebihi wanita-wanita umatku sebagaimana Maryam melebihi wanita-wanita seluruh dunia

Imam Bukhari juga meriwayatkan kata-kata Abu Hurairah bahawa pada satu ketika Malaikat Jibril mendatangi Rasulullah S.A.W. Dia berkata,

Wahai Rasulullah, Khadijah sudah datang membawa makanan dan minuman. Kalau dia sudah tiba, sampaikan salam kepadanya daripada Allah dan daripadaku, khabarkan kepadanya sebuah istana yang diperbuat daripada intan permata sudah disediakan untuknya.

Kerana yang pertama menyokong dan memberi kekuatan kepada Rasulullahlah Khadijah mendapat tempat yang utuh di dalam hati baginda Rasulullah saw hingga mendatangkan rasa cemburu dalam hati isteri-isteri baginda yang lain.


Aku tidak pernah cemburu kepada seorang pun isteri Rasulullah S.A.W seperti cemburuku kepada Khadijah. Dia memang sudah meninggal dunia sebelum baginda mengahwini aku. Tetapi aku cemburu kerana aku mendengar baginda menyebut-nyebutnya, dan baginda diperintahkan oleh Allah supaya memberinya khabar gembira bahawa dia mendapat sebuah istana di syurga, juga kalau baginda menyembelih kambing, baginda menghadiahkan dagingnya kepada teman-teman khadijah

Kerana menjadi yang pertama terlibat dalam perjuangan menegakkan Al-haq, kini Khadijah tenang di alam barzakh sana, dibawah bayangan nikmat-nikmat syurga, di dalam keadaan ganjaran pahala sentiasa mengalir sampai kepadanya kerana amalan-amalannya, pengorbannanya menjadi contoh ikutan oleh umat ini.
 

Diriwayatkan oleh Muslim:

Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun.
[Hadith sahih riwayat Muslim]


Indahnya menjadi yang pertama.

Tiada jual beli yang lebih menguntungkan melainkan kita bersama menjejaki dan mencontohi mereka yang telah berjaya melalui tempoh ujian dan dugaan dalam memperjuangkan Al-haq dan menumpaskan kebatilan .

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.
(Az-Zumar:18)


Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui. Dengan itu Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga “Adn”. Itulah kemenangan yang besar.
(As-Soff: 10-12)

Sejarah telah membuktikan, perjuangan ,pengorbanan ,kesusahan ,keperitan dan penderitaan yang dilakukan semata-mata untuk memenangkan agama ini,pasti tidak akan disia-siakan.Dan mereka yang terlibat di peringkat awal merupakan yang paling mendapat keberuntungan didalam perjuangan ini.



Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Makkah). Mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu. Dan tiap-tiap satu puak dari keduanya, Allah janjikan (balasan) yang sebaik-baiknya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu kerjakan.
(Al-hadid:10)

Mari menjadi Khadijah untuk umat ini. Mari menjadi yang pertama!

    

0 comments:

Design by Blogger Templates