:: Kanvas Kehidupan ::

Hidup ini ibarat selembar kanvas. Lukisan mana yang ingin kau lakar di atasnya? Pilihan di tanganmu… Dipilih dan memilih untuk…

Ijlis bina wa’ nu’min saah. Duduk sebentar dan beriman sejenak. Moga hati-hati milikNya masih terus segar berembun nikmat iman dan Islam.

Hidup ini memang tidak lari daripada membuat pilihan. Dari saat kelopak mata dicelikkan di pagi hari hinggalah ianya dipejamkanNya di malam hari. Kita sentiasa berperang dengan dua tarikan yang akhirnya akan menentukan di mana anggota harus mulakan langkahnya. Ada orang mudah saja jalannya. Hanya mengikut arah sudah sampai ke destinasi. Ada orang sukar jalannya. Terpaksa merentas ranjau duri untuk sampai ke tempatnya.

Namun, sunnatullah alam tak siapa mampu melawan. Yang susah pasti ada senang. Yang duka pasti ada suka. Yang pahit pasti ada manis.Yang derita pasti ada bahagia. Semuanya perlu ditempuh untuk melengkapkan pakej diri sebagai seorang insan yang bergelar hamba kepada Allah.

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan,” Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?” (Al-Ankabut:2)

Jika kita lihat hidup ini dari kaca mata sendiri, tidak dinafikan seluruh isi dunia ini cukup indah untuk dinikmati. Cukup pesona untuk dimiliki. Siapa yang tak inginkan kereta mewah, rumah banglo besar, pangkat yang tinggi, suami yang kacak, isteri yang jelita, anak-anak yang comel dan macam-macam lagi? Mungkin tak akan ada yang menolak jika disajikan dengan semua ini. Tak salah untuk memiliki apa yang diimpi tapi apakah cukup dengan semua ini untuk menghadap Ilahi? Bukankah kita yakin bahawa hidup ini cuma sementara ?

Marilah kita fikirkan kembali. Melihat hidup ini dari neraca Allah.

Adakah kita sedar dari manakah kita datang?

Kenapa kita dijadikan?

Ke manakah kita akan pergi?

Dan adakah kita hidup kembali?

Iman bukan sekadar percaya dan yakin. Tetapi iman lebih dari itu. Iman, apabila ia menjajah segenap hati, ia mampu merubah seseorang menjadi individu yang lain. Individu hebat yang memanifestasikan segala suruhan RabbNya dengan benar dan yakin. Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah.

Hidup ini adalah sebuah perkelanaan… Kita beruntung kerana dipilih olehNya untuk berada di muka bumi ini… Sedangkan jutaan yang lain tidak punya kesempatan… Kita bertuah dipilih olehNya untuk sedar akan hakikat Ad-Din ini… Sedangkan jutaan yang lain masih larut dalam kelalaian…
Sekarang, tugas kita adalah memilih… memilih untuk berada di jalan menuju syurgaNya atau jalan untuk ke nerakaNya.

Kalau bukan kita, siapa lagi?

Kalau bukan sekarang, bila lagi?

“Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba maka Allah memberinya kefahaman (faqih) tentang agama dan memberinya ilham kelurusan”. (HR Thabrani)

Ya Rabbi,

tetapkanlah aku, dia dan mereka di atas pilihan ini dijalanMu.
Cinta yang sebenar, cinta yang hakiki, adalah cinta kepada Allah semata-mata. Semoga kita termasuk dalam golongan yang dicintai-Nya selalu, dunia dan akhirat...

Semoga terus istiqamah.

0 comments:

Design by Blogger Templates