:: Allah sedang Mengajarmu ::

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Pertama-tamanya, marilah bersama-sama wahai jasad, wahai jiwa, wahai hati, untuk bersyukur kepada Allah SWT..untuk apa bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala?

Firman Allah dalam AlQuran :

وَاللّهُ أَخْرَجَكُم مِّن بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لاَ تَعْلَمُونَ شَيْئاً وَجَعَلَ لَكُمُ الْسَّمْعَ وَالأَبْصَارَ وَالأَفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

yang bermaksud : " Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati agar kamu bersyukur" (surah an-Nahl, ayat 78)..

Wallahua'lam, Allah jua Yang Maha Mengetahui..Sesungguhnya segala-gala yang ada padamu wahai hatiku, padamu wahai jiwaku, padamu wahai jasadku, adalah kurniaan Allah Subhanahu wa Ta'ala..

Buat adik-adikku sekelian..
juga buat sahabatfillah yang mempunyai anak-anak remaja di rumah..

:: Waktu Mudamu, Ke manakah Kau Habiskan ? ::

Remaja adalah satu fasa umur yang paling berharga bagi setiap manusia. Fasa ini juga adalah penentu kepada pilihan remaja itu sendiri untuk mencorak kehidupan mereka sewaktu remaja ini untuk dibawa kepada fasa dewasa. Jika mereka lebih cenderung kepada ilmu agama, mereka akan terus istiqamah untuk mendalami ilmu agama hingga ke fasa dewasa atau seterusnya. Dan jika pula mereka lebih cenderung kepada dunia hiburan, mereka akan terus mencari-cari untuk terus berhibur sehingga tidak sedar mereka semakin meninggalkan alam keremajaan mereka.

perhatikan pesanan ini..

“hendaklah kamu mengambil keuntungan dan kesempatan kamu di dalam masa muda kamu, sebelum kamu menjadi seperti kami ini, dalam hal tua, daif dan lemah dari membanyakkan amal”.

Pesanan ini telah disampaikan oleh ulama'-ulama' salaf (ulama' yang terdahulu) sebagai nasihat kepada orang muda ketika itu untuk terus beribadat kepada Allah walaupun kita tahu bahawa ulama' tersebut telah menghabiskan seumur hidup mereka untuk mengabdikan diri kepada Allah hinggakan ke usia tua. Tetapi dengan sifat merendah diri ulama' ini, mereka tidak menunjukkan kealiman mereka dan terus mengabdikan diri kepada Allah SWT dari masa muda mereka sehinggalah ke masa tua mereka.

Hari ini kita melihat kebanyakan remaja sekarang tidak sepenuhnya menggunakan masa muda mereka untuk mengabdikan diri mereka kepada Allah SWT. Mereka lebih memilih untuk menghabiskan masa muda mereka dengan aktiviti yang kurang bermanfaat daripada membersihkan diri mereka dengan pakaian iman dan akhlak dengan mendengar pesanan ulama'-ulama' yang kini hampir setiap hari menyampaikan risalah Nabi Muhammad SAW. 


Kini kita lihat hampir setiap kampung dan taman perumahan ada masjid atau surau yang mengadakan kuliah untuk mengembalikan aqidah dan akhlak umat Islam. Rasanya agak rugi jika tidak mengunakan peluang yang ada pada zaman sekarang, di mana-mana sahaja kita dapat menimba ilmu agama.

Jika dilihat daripada sejarah orang-orang alim terdahulu, mereka sanggup belayar di serata dunia untuk menuntut ilmu agama. Seperti seorang tokoh ulama Malaysia, Syeikh Mohd Idris Al Marbawi yang menuntut ilmu dari masa muda Al-marhum sehingga umur Al-marhum mencecah 80 tahun di mesir. Pada tahun 1 Muharram 1408 H, bersamaan 1987 M, beliau telah dijemput oleh kerajaan Malaysia pada masa itu untuk menerima Tokoh Maal Hijrah yang pertama. Tetapi Al-marhum menolak tawaran kerajaan Malaysia. Setelah dipujuk beberapa kali oleh kerajaan Malaysia, akhirnya Al-Marhum menerima tawaran tersebut.

Apabila Syeikh Idris diminta untuk berucap ketika menerima anugerah ini. Dia dengan rendah diri berkata: “sesungguhnya aku tidak mempunyai ilmu walaupun hanya sedikit”

Apabila mendengar ucapan Al-marhum Syeikh Idris, semua tetamu jemputan terdiam dan akhirnya Syeikh Idris meninggalkan majlis itu dan terus pulang ke tanah barakah Mesir. Di sini kita dapat lihat betapa juhud dan merendah dirinya ulama' ini walaupun kita tahu Al-marhum ulama' yang paling muktabar ketika itu dengan mendalami ilmu pengetahuan sepanjang hidup Al-marhum. Inilah janji Allah kepada hambaNya yang merendahkan diri mereka dan terus beribadah kepada Allah. Allah SWT akan angkat darjat mereka dan tiada sesiapa pun yang akan mampu untuk menjatuhkan mereka.

Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya:
“ ada tujuh golongan orang yang Allah berikan naungan pada hari yang tidak ada naungan kecuali naunganNya, pemerintah yang adil, pemuda yang tumbuh berkembang dalam peribadatan kepada Robbnya...”.


Dan juga bagaimana Allah SWT juga kisahkan cerita tentang pemuda ashabul kahfi dan ashabul ukhud. Allah khabarkan kepada kita bahawa mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Robb mereka, sebagaimana firman Allah yang maksudnya :
“kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk. Dan kami meneguhkan hati mereka diwaktu mereka berdiri, lalu mereka pun berkata, “ Tuhan kami adalah Tuhan seluruh langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia” (Al Kahfi :ayat 13-14)

Maka, di sini kita dapat simpulkan bahawa pemuda yang akan mendapat keredhaan Allah SWT ialah golongan pemuda yang telah memilih masa mudanya lagi telah mengabdikan diri kepada Allah. Hanya gerun dengan kalimah Allah dan tidak takut kepada makhluk lain. Apa yang mereka dapatkan dari waktu muda yang mereka habiskan dalam ketaatan kepada Allah? Dari Surah Al-Kahfi, dengan keberanian yang dimiliki oleh pemuda ini walaupun diperintah oleh raja yang zalim supaya menyembah berhala. Mereka mengatakan bahawa “Robb kami adalah Robb yang memiliki langit dan bumi, kami tidak akan beribadah kepada selainNya”.

Sampaikanlah walau sepotong ayat...
 

0 comments:

Design by Blogger Templates