SESEGAR NAILOFAR BAB 11/2

Furqan berhajat untuk singgah di kedai Abu Rafeeq membeli panadol. Kepalanya agak pening. Tubuhnya tidak berapa enak. Imtihan akhir dalam beberapa hari sahaja lagi. Kesihatannya sekarang tidak berapa menentu. Namun kesihatannya mesti stabil untuk murajaah. Pepatah Arab ada menyebut:Akal yang sihat pada tubuh yang sihat. Dia ingat itu. Tetapi beberapa meter dia melangkah berseorangan meninggalkan pintu gerbang masjid,dia terdengar namanya diseru dalam nada yang tertahan-tahan.
Apabila Furqan menoleh,dia ternampak Amjad berdiri di belakang sebatang pohon tin di tepi tembok masjid. Lelaki itu nampaknya cemas sekali. Kebetulan ada dua orang lelaki baru sahaja keluar dari kawasan masjid berada di belakangnya,lantas dia berpura-pura tertinggal sesuatu,berpaling sambil mengaru-garu kepala. Setelah dua lelaki di belakangnya berlalu,dia merapati tembok yang agak terlindung dengan kerendangan pohon tin yang sedang berbuah.
"Furqan.... tolong aku.... Tolong..... aku,aku diburu!"
"Hah?"
"Kau tahukan semua cawangan HAMAS di tutup?"
Furqan mengangguk. Sudah maklum. Malahan,isu ini asyik dibincangkan di Darul Hawariyyin sehari dua ini.
Iqbal ada juga meluahkan kebimbangannya tentang keselamatan Amjad yang terpaksa berpindah dari Sweileh.

SESEGAR NAILOFAR BAB 11/1

Dan ketika itu Amerika lekas pula menuduh HAMAS fundanmentalis,pengganas dan pengancam kepada proses damai yang termaterai pada 1994 antara,ISRAEL,JORDAN dan PALESTIN. Malah sesetengah media Barat menyamakan gerakan istisyad di PALESTIN oleh HAMAS dengan kamikaze pasukan pejuang udara JEPUN pada Perang Dunia Kedua.
"Samakah istisyad dengan kamikaze?" soal Dr.Ali Hamad di kelas tadi.
"Tidak!" Bergema jawapan itu di dalam dewan kuliah yang boleh diisi dengan seratus orang pelajar itu. Momentumnya turut terkesan ke dewan sebelah.
Patutlah Dr.Ali Hamad begitu bersemangat berceramah tentang BAITULMAQDIS pagi tadi. Pada anggapannya,sudah tentu orang tua telah terlebih dahulu membaca berita ini.
"Istisyad di PALESTIN adalah suci. Pejuang meletupkan dirinya bersama-sama musuh demi agama dan ummahnya adalah berbeza dengan pejuang yang meletupkan dirinya semata-mata kerana dirinya dan bangsanya. Ini fatwa Dr.Yusof al-Qardhawi dan jumhur ulama mutakhir. Apabila seseorang itu membela agamanya,maka dia sebenarnya menjual dirinya kepada Allah. Sebagaimana firmaNYA dalam Surah Al-Baqarah ayat 207 yang bermaksud:
"Dan antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah dan Allah itu Maha Penyantun kepada hamba-hambaNYA."
Sebentar kemudian,Aiman dan Amir pula serentak wajah mereka kepenatan dan pakaian yang lencuh dengan peluh. Bungkusan-bungkusan yang dijinjit tidak sempat dihantar ke dapur. Mereka terlebih dahulu mencari sofa untuk melepas lelah. Iqbal yang hampir terlelap terjaga kembali. Terganggu dengan kepulangan mereka.
"Kamu berdua ke mana?" tanya Furqan.
"Wasatul Balad. Cari lauk."
"Yang nampak letih sangat ni kenapa?"
"Mana tak penatnya,kena berjalan kaki." Amir menrungut. "Jalan sesak. Teksi dan coaster tak boleh lalu.Haru kami dibuatnya.
"Fasal apa?"
Telefon berdering dan Iqbal bingkas menyambut.
"Ikhwanul Muslimin dan pelarian PALESTIN di Mukhayyam buat rapat umum. Beratus-ratus  orang berarak menghantar memorandum ke kediaman wakil rakyat," terang Aiman sambil meraup mukanya yang merah dibakar matahari.
Furqan ternganga.
"Aiman,panggilan daripada Amjad." Iqbal melepaskan gagang.
Aiman bangkit menuju ke telefon. Berbicara seminit sebelum ganggangnya diletakkan semula.
"Apa dia kata?" Furqan tampak kurang sabar.
"Tiga orang anggota HAMAS ditahan disempadan semasa memasuki JORDAN. Amjad berasa tak selamat. Dia mungkin terpaksa pindah dari Sweileh." Semua melopong.
**********************************************************************************
Amjad memandang ke lantai. Menguis-nguis ambal keras di ruang tamu dengan kaki. Kemudian matanya agak terperosok ke dalam itu beralih ke wajah Aiman,Amir,syuib dan akhir sekali Furqan.
Sunyi seketika. Masing-masing kehilangan kata. Sesekali kedengaran suara Celine Dion mendendangkan lagu My Heart Will Be Go On dari rumah jiran sebelah. Rupa-rupanya demam Titanic belum berakhir.
"Polis akan sampai bila-bila masa sahaja. Mukhabarat di mana-mana. Kita mesti menolong Amjad,Fur."
Suara Amir itu berbau desakan.
"Aku tahu. Tapi bagaimana....bagaimana caranya?"
Furqan mengelih wajah sahabat yang muda setahun daripadanya itu. Memang itulah hasratnya,mahu menolong Amjad. Tetapi dia sendiri kematian akal.Pening memikirkan apakah yang harus dia dan sahabat-sahabat perlu lakukan untuk membantu Amjad.
Buntu.
Ya Allah,berikan kami jalan!
Jam dikelih sekilas. Pukul lapan suku malam. Iqbal yang ke Amman,masih belum pulang. Hati Furqan merintih. Ke mana kau sahabat? Cepatlah pulang,bantu kami untuk menolong pejuang Islam ini!
Pandangannya kembali kepada wajah Amjad. Pulang daripada berjemaah maghrib di masjid sebentar tadi,dia berseorangan. Aiman sejak asar di perpustakaan lalu solat sendirian di rumah,semnetara Amir ke Duwar Jami'ah dan mungkin berjemaah di Masjid Universiti.

SESEGAR NAILOFAR BAB 11

"Aku yakin Aiman masih belum mengetahui tentang berita ini."Iqbal mencampak akhbar perdana itu ke atas sofa lembut tetapi lusuh. Dia mengunyah anggur segar sambil matanya tepat memandang ke skrin televisyen.
Furqan mengangguk bersetuju,malahan matanya tidak puas menatap tajuk utama akhbar itu.
PEJABAT-PAJABAT CAWANGAN HAMAS SELURUH JORDAN DITUTUP......
Furqan ulang membaca akhbar As-Sabeel itu lagi. Lidah Ikhwanul Muslimin. Juga tidak berbeza. Mewartakan khabar yang sama. Cuma As-Sabeel yang berhaluan kiri ada menyatakan kekesalan mereka terhadap tindakan drastik kerajaan. Tanpa sebarang tekanan atau amaran sebelumnya tiba-tiba sahaja bertindak menutup seluruh cawangan HAMAS yang ada di negara ini.
Tekanan sebenar adalah dari Washington!
Dakwaan berani Ketua Pengarang As-Sabeel itu masuk akal juga. Beliau mengaitkan kedatangan Albright yang terlalu kerap ke Asia Barat adalah untuk mencari kelemahan Arab,khususnya Jordan,sebelum menjadikannya senjata untk menyerang HAMAS yang amat ditakuti oleh ISRAEL.
Ya,setelah Arafat dan PLO menjadi barang permainan,HAMAS satu-satunya gerakan yang digeruni oleh YAHUDI selain JIHAD ISLAMI. Hari demi hari,berjalan tanpa henti gerakan jihad itu kian bertambah. Mereka mempunyai semangat intifadhah yang kuat dan sekumpulan perancang strategi yang bijak dan licik berbanding JIHAD ISLAMI yang seolah-olah kehilangan taringnya selepas pemimipin unggul mereka,As-Syahid Dr. Fathi Syiqaqi terbunuh dalam satu serangan pengganas di Malta.HAMAS sentiasa mempunyai generasi pelapis yang setanding dan tidak takut mati.
Seingatnya pada awal 1996,HAMAS telah kehilangan Yehia Eyash,(gambarnya kini tertampal di pintu kamar bilik Aiman)merupakan pakar letupan mereka yang digelar"Sang Jurutera". Kematian Yehia yang amat dikehendaki oleh Rejim Tel Aviv itu ketika itu cukup mengerikan. Beliau terpaksa menyamar dan sentiasa melarikan diri bagi mengelak daripada dikesan perisik MOSSAD. Namun ajalnya tetap memburu. As-Syahid akhirnya terbunuh apabila telefon bimbit yang sedang digunakan meletup. Akibatnya,enam puluh orang YAHUDI mati dalam serangan berani mati HAMAS yang menuntut bela atas kematian perancang strategi mereka.Namun itu masih sedikit berbanding pembunuhan di Sabra dan Syatila pada tahun 1982,di MASJIDIL AQSA,di Masjid Hebron,di Ramallah,di GAZA,di seluruh PALESTIN sejak 1948.

SESEGAR NAILOFAR BAB 10/4

Kelas pecah kecoh seketika. Bising,masing-masing cuba membuat kesimpulan. Di depan,pensyarah mithali itu mulai sebak.
"Maknanya apa? Maknanya,kalian semua umat Islam,pemuda mesti menjaga solat. Solat tiang agama. Solatlah yang akan menghalang kalian daripada melakukan perkara mungkar." NAda lelaki awal 60-an itu kian lirih."YAHUDI tidak takut dengan umat Islam yang memegang senjata,tapi....tapi mereka amat gentar dengan umat Islam yang taat beragama,lebih-lebih lagi yang berada dalam satu saf perjuangan."
Seisi kelas melihat Dr,Ali Hamad menyeka air mata dengan jari telunjuk kanannya. Kemudian dia menyudahi ceramahnya dengan ayat ke-82 Surah al-Maidah yang bermaksud:
"Sesungguhnya kamu dapati golongan yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman,iaitu orang-orang YAHUDI dan orang-orang musyrik....."
Dalam perjalanan pulang,dia singgah di  Kulliyyah Syariah,menjenguk papan kenyataan yang disediakan khas oleh Dekan Kulliyyah Syariah untuk PERMAI. Sebarang notis,pekeliling mahupun iklan yang berkaitan pelajar Melayu terlekat di situ.
Tiada sebarang iklan terbaru ditampal. MAsih seperti minggu lepas,kecuali beberapa tips untuk menghadapi peperiksaan yang ditampal oleh Biro Ilmiah. Dia yakin inisiatif daripada Aisya Safira. Gadis itu ada memaklumkan perkara itu dalam mensyuarat exco PERMAI baru-baru ini.
Sewaktu melangkah keluar dari Kulliyyah Syariah,Furqan terpandang Faroq sedang berbicara dengan Aisya Safira di bawah pohon delima,betul-betul di hadapan tangga utama. Dia ingin menegur mereka,tetapi hasrat dibatalkan. Degupan dalam dadanya tidak semena-mena kencang. Langkah diatur ke Bab al-Janubi.
Kalimat Amir tempoh hari lekas sahaja menerjah gegendang. Furqan menoleh semula mengelih ke belakang. Mereka telah tiada di situ. Yang ada,beberapa orang pelajar Arab yang turun naik tangga.
Betulkah Aisya Safira dan Faroq yang berdiri di situ tadi? Atau sekadar ilusi?
Furqan menggeleng-gelengkan sebelum menggaru kepalanya digaru. Dia berpaling sekali lagi.
"Hoi!" Jerkah satu suara.
Furqan tersentak.Matanya menangkap muka Iqbal yang terseringai,tiga depa daripadanya. Lelaki itu bersandar di tiang lampu jalan yang redup dilindungi pohon pain yang agak rimbun,lebih kurang empat ,meter dari tempat letak kereta pensyarah Kulliyyah Syariah.
Matanya terbeliak."Budak bertuah,terperanjat aku!"
Iqbal ketawa sedikit melihat gelagat Furqan.
"Kau tengok siapa Fur?" Tanya Iqbal."Asyik tertoleh-toleh."
Furqan terdiam. Geram. Dadanya semakin kencang berdebar apabila disergah begitu. Rasa marahnya segera terhalau selepas berselawat beberapa kali.
"Aku di sini pun kau tak perasan."
"Tadi nampak macam Faroq di situ." Jelas Furqan.
"Faroq ke Aisya?"
Furqan sedar dia terperangkap. Lelaki ini nampak segalanya?
Mereka mula melangkah,melalui kaki lima,menuju ke pintu jihat selatan.
"Tak baik menipu diri-sendiri."
"Siapa yang menipu?" Furqan sengaja buat-buat tidak faham. Kepalanya berputar ligat mencari mauduk lain.
"Engkaulah!" Iqbal meninju bahunya."Kau dengan Aisya ni.. er sebenarnya macam mana?"
"Macam yang kau lihat."
"Apa yang aku lihat...kau menoleh sebanyak dua kali tadi."
"Kau ingat ni filem Hindustan?" Furqan tertawa."Kan aku dah kata,nampak macam Faroq ada di situ."
"Macam-macam alasan. Agaknya kau cemburu nampak Faroq berbual-bual dengan Aisya."Gelak Furqan semakin kuat. Kaki terus melangkah. Beberapa pelajar lelaki Arab berlari-lari memotong mereka,barangkali mahu mengejar bas. Pintu jihat selatan seratus meter di hadapan.
"Hebatkah Ira,sampai kau langsung tak terpikat kepada Aisya Safira?"
"Ya,dia belum dapat mengatasi Ira."
"Fur,kita dah lama rapat,susah senang duka gembira kau,aku turut terasa sama."
"Kau dan Asma' bagaimana?" Furqan memusing tajuk.
"Ok,dia sanggup lepaskan aku ke London bulan depan.."
"Tak rindu ke?" duga Furqan.
"Alah,bukannya lama. Belum berkahwin,jangan nak mengada-ngada. Berjiwa besarlah sikit. Eh,Fur...jom kita pergi sekali.."
"Aku nak balik. Adik-beradik aku dah lama tunngu."
"Balik bila-bila masa pun boleh. Peluang ke negara orang bukannya selalu."
"Kau bolehlah,bapak kau ada perniagaan sendiri.Aku? Harapkan biasiswa kerajaan nak hidup di sini.
"Duit simpanan kau kan banyak lagi. Nak buat apa? Nak buat hantaran Ira?" Iqbal ketawa besar. Furqan tidak menyahut.  Bedenah lelaki ini,gerutunya di dalam hati.
Sebaik menyeberangi jalan di hadapan Bab al-Janubie,Furqan masuk ke Kedai Abu Sarah di tepi jalan raya. Iqbal menunggu di luar. Furqan keluar dengan senaskhah akhbar di tangan. Sambil melangkah keluar dari kedai,sempat dia menjeling berita utama muka depan akhbar.
Matanya gesit sekali berlari-lari di perenggan demi perenggan berita itu.
 Mulutnya Furqan ternganga. Kepalanya digelengkan,kesal..
"Kenapa?" Tanya Iqbal.

SESEGAR NAILOFAR BAB 10/3

"Kalian biarkan darah itu mengalir lagi dalam Perang enam hari pada 1967.Kalian biarkan mereka menceroboh biarkan mereka menceroboh Semenanjung Sinai pada 1973.Kalian biarkan beribu pelarian mati percuma di Sabra dan Syatila pada 1982. Kalian biarkan segala-gala mereka lakukan!"
Ceramah Dr.Ali Hamad dirasakan sarat dengan fakta.Furqan sempat juga menyalin beberapa maklumat baru yang dianggapnya penting. Tetapi dia lebih ralit mendengar pensyarah mithalinya itu menaikkan semangat anak didiknya dengan ketajaman kalamnya.
Justeru Furqan paling tertarik dengan amanat terakhir yang diberikan Dr.Ali Hamad sebelum menamatkan ceramahnya. Beliau bertanya khusus kepada pelajar lelaki yang ada.
"Siapa dalam kalangan kamu yang menyayangi BAITULMAQDIS?"
Semua pelajar lelaki menyahut."Kami!"

"Berapa ramai yang solat subuh pagi tadi?"
Ramai yang mengangkat tangan,tetapi tidak semua.
"Berapa ramai yang berjemaah di masjid subuh tadi?"
 Tidak sampai lima orang yang mengangkat tangan.
"Inikah golongan yang mahu melawan YAHUDI? Mengangkat selimut pada musim panas begini untuk untuk menunaikan solat fardhu pun kalian sudah tidak mampu,bercita-cita pula mahu menentang  YAHUDI dan membebaskan BAITULMAQDIS?"
Tembakan kalimat Dr.Ali Hamad begitu berbisa. Tepat,padu dan menusuk. Tiada pelajar lelaki yang mampu mengangkat muka untuk menengadah  memandang ke hadapan.
"Aku bertanya ini bukan untuk memperlekehkan kamu semua. Tapi berdasarkan pengalaman,aku mahu jadikan ia satu peringatan. Aku pernah melalui sempadan JORDAN-ISRAEL dan ditahan oleh tentera YAHUDI disana. Tahukah kamu semua apa yang mereka tanya?"
Dewan kuliah menikus.
"Mereka bertanya kepadaku:Ramaikah pemuda Islam di Jordan yang bersolat subuh? Aku kata ya. Mereka kelihatan muram dan tidak puas hati. Lantas mereka bertanya lagi:Ramaikah pemuda ISlam disana yang berjemaah subuh di masjid? Aku kata tidak. Serta -merta aku melihat mereka kelihatan begitu gembira.


SESEGAR NAILOFAR BAB 10/2

"Kita seolah-olah tiad langsung rasa cinta terhadap Tanah Suci Baitulmaqdis sebagaimana kita mencintai Tanah Suci Makkah dan Madinah. Tahukah kita bahawa Baitulmaqdis dan kawasan-kawasan yang meliputi Dataran Syam ini ialah bumi yang diberkati oleh Allah? Sedarkah kita?
Lantas Dr.Ali Hamad membaca ayat pertama Surah al-Isra' yang menjelaskan tentang kebenaran kata-katanya tadi. Jelas dan keras bacaannya. Semua pelajar terpaku. Kemudian dengan tangan kosong,dia menyatakan sejarah Baitulmaqdis secara kronologis yang dipetik daripada masdar-masdar tarikh.
Menurutnya,Baitulmaqdis menjadi rebutan tiga agama iaitu Islam,Yahudi,dan Kristian kerana masing-masing mendakwa itulah tanah suci mereka.Walhal hanya umat yang taat dan menjalankan suruhan Allah yang sebenar-benarnya,iaitu umat Islam yang berhak ke atas Masjidil Aqsa dan Baitulmaqdis. Sesungguhnya kota itu telah berkali-kali bertukar tampuk pemerintahan yang terdiri daripada penganut ketiga-tiga agama samawi itu. Jelas,sesiapa yang menguasai Baitulmaqdis,maka merekalah yang akan menguasai dunia seluruhnya.
Ini telah terbukti sekarang,bisik Furqan dalam hati. Yahudi sedang bermaharajalela di BAitulmaqdis,dalam pada itu juga mengawal dunia melalui Amerika yang telah dikuasai bangsa mereka.
Baitulmaqdis telah dibuka pada zaman kemerosotan apabila dijajah empayar asing. Seterusnya bangkit semula sebagai kota kebanggaan orang Islam pada zaman Nabi Sulaiman. Pada saat itulah terbina Haikal yang mahu dibina semula oleh orang-orang Yahudi sekarang. Namun kota itu sebenarnya pernah musnah teruk dua kali dalam sejarahnya. Pertama di tangan Bukhtanassar dari Babylon pad 587 SM,dan kali kedua di tangan Titus yang memerintah Rom pada &70 M. Begitulah ia,sekarang bertukar ganti pemerintahan dan kekal menjadi rebutan.
Apabila Rasullulah dibangkitkan menjadi nabi,Baitulmaqdis berada di bawah pengaruh orang Kristian yang berpusat di Rom. Namun Amirul Mukminin Umar al-Khattab yang bercita-cita tinggi menobatkan Islam telah berjaya merampas kota itu dan membukanya buat julung-julung kalinya dalam sejarah Islam. Malangnya kelemahan umat Islam menyebabkan Baitulmaqdis jatuh ke tangan Empayar Rom yang beragama  Kristian sebelum Salahuddin al-Ayubi muncul memberikan harapan kepada umat Islam untuk kembali menguasai Tanah Suci itu.
"Malangnya perjuangan al-Ayubi itu tidak di kenang oleh umat selepasnya. Baitulmaqdis terlepas lagi. Kali ini ke tangan Yahudi pada tahun 1948! Arab dan muslim semuanya sedar. Tapi apa yang kalian buat?"
Suara Dr.Ali Hamad mengejutkan lagi. Pelajar yang mengantuk terpinga-pinga.

SESEGAR NAILOFAR BAB 10/1

Silibus sebetulnya sudah selesai. Namun Dr.Ali Hamad tetap berceramah. topiknya pagi ini amat luar biasa. Sesuatu yang tidak pernah dibicarakan secara lantang di daalm kelas. Dia mengisi kuliah terakhir dengan cerita tanah airnya. Cerita PALESTIN yang semakin tertindas.
Furqan mulai seronok menadah telinga. Sehari dua ni pendengarannya sentiasa ditusuk dengan isu-isu ini. Kelmarin,pertemuannya dengan amjad bukan sahaj menambahkan maklumatnya tentang Baitulmaqdis yang juga dikenali dengan nama Al-Quds atau Jeruselam,dan ancaman Zionis,tetapi turut mengakrabkan dirinya dengan cerita-cerita jihad.
"Sesungguhnya beberapa dekad telah berlalu,tetapi Baitulmaqdis tetap kekal begitu.Dijajah dan dihina musuh Allah. Dimanakah letak maruah kita sebagai umat Islam yang membiarkan Tanah Sucinya yang ketiga dijajah?Dimana? Mengapa kita boleh berehat,bersukaria dan terus-terusan tidur?" Kelantangan suara Dr.Ali Hamad mengejutkan beberapa orang pelajar Arab yang tersenguk-senguk mengantuk.

SESEGAR NAILOFAR BAB 10

Sabtu. Hari ini merupakan hari terakhir pengajian untuk semester ini. Minggu depan peperiksaan akhir akan bermula. Tidak ramai pelajar yang hadir ke kampus pada minggu mengulang kaji begini. Pensyarah pun tidak lagi mengajar seperti biasa. Silibus sudah habis dikhatam. Mereka cuma datang untuk memberi amanat yang terakhir bagaimana menghadapi soalan-soalan peperiksaan atau membuka ruang kepada para pelajar untuk bertanya tentang sebarang permasalahan..
Furqan menghadiri kuliah seperti biasa. Kuliah Nahu 5 oleh Dr.Ali Hamad masih ada walaupun dua kuliah subjek lain telah dibatalkan. Belum pernah dia ponteng sepanjang semester ini. tidak tergamak rasanya  meninggalkan kuliah terakhir sekalipun rekod kedatangan tidak diambil. mungkin ini yang terakhir sepanjanag tempoh menjadi pelajar ijazah sarjana muda.
Dr.Ali Hamad masuk seperti biasa tepat jam *. Tampangnya seperti selalu,tenang.Memang dia terkenal sebagai pensyarah yang berhemah tinggi dan tidak pernah menzahirkan reaksi marah. Segala kesilapan pelajar ditegur dengan penuh berhikmah. Lantaran itu tidak gharib jika lelaki Palestin ini amat disayangi. malah pernah digelar Dr.Mithali!

SESEGAR NAILOFAR BAB 9/1

Furqan,
Imtihan Niha'ie semakin hampir.
Aku kini membilang hari.
-NAILOFAR-
Siapkah engkau?
Furqan menelan air liur.Matanya masih tepat masih tepat ke monitor. Hatinya kian geram. Sudah dua kali dia membaca perutusan yang disalinnya dari kantung e-melnya semasa ke kafe siber untuk dibaca menerusi komputernya di rumah.Isinya ringkas cukup untuk menerangkan bahawa nailofar seorang yang mengambil berat mengenai dirinya.
Walaupun sudah beberapa kali e-mel Nailofar bertandang,belum sekli pun Furqan membalasnya.dia sekadar membiarkan,tetapi gadis itu tidak pernah jemu-jemu.
"Aduhai,siapa engkau hai Nailofar?"bisik Furqan sendiri.
Furqan menyebut nama aneh itu beberapa kali.
Dia tidak menafikan. Memang ia suatu nama yang nian indah. Bagaimana agaknya gerangan tuan yang memiliki nama nan klasik ini. Adakah secantik gadis impiannya?
Semalam,tanpa disangka,semasa ralit mengulang kaji dia menemui nama itu lagi. Rupanya nama itu sering disebut dalam puisi-puisi Andalusia yang sedang dipelajarinya. Tetapi maknanya secara tepat,tidak pula dapat dia pastikan.Dia tidak dapat mengagak.Apatah lagi puisi-puisi Andalusia lebih payah difahami berbanding puisi Arab biasa mahupun yang klasik seperti puisi zaman Jahiliyyah,Umaiyyah dan Abbasiyyah.
Adakah itu nama seorang perempuan terkenal dan rupawan pada zaman kegemilangan Islam di Sepanyol atau nama sejenis tumbuhan?
Didorong perasaan ingin tahu yang membara itu,Furqan terus mencapai  Lisanul Arab,kamus bahasa Arab yang paling akbar yang pernah dihasilkan. Dia mencari-cari maksus Nailofar. Malangnya tiada.
Furqan terdiam sejenak. Berfikir.
Bilakah Lisanul Arab dihasilkan? Adakah sebelum atau selepas pembukaan Andalus? Jikalau Ibn Manzur menyusun kamus ini sebelum Thariq bin Ziad menyeberangi Selat Gibraltar mengempurkan Kristian Sepanyol bermakna perkataan "NAILOFAR" pasti tidak akan ada dalam kamus yang agung ini.
Dia lau mencapai beberapa buah kamus yang lain yang lebih mutakhir.Dan tekaannya tidak meleset. Dia menemukan makna perkataan NAILOFAR.
Nailofar memang berasal daripada bahasa Andalus,tetapi telah diarabkan.Ia nama kepada spesies bunga yang habitatnya di dalam air. spesies yang hampir sama dengan lili dan teratai.
Furqan terkelip-kelip,cuba memikirkan dimanakah logiknya seseorang boleh menyukai nailofar. Apakah simboliknya?
Bunga spesies ini setahunya tidaklah seharum mawar,tetapi hidupnya hanya di dalam air menjadikannya sentiasa segar dan lambat layu.Barangkali kerana kesegaran itulah gadis itu menyenangi bunga ini.Tidak mawar,dahlia,telukis,kemboja,anggerik dan sebagainya,tetapi nailofar.
Lantas dipilih nama Nailofar,Furqan beranalogi. Tetapi maujudkah gadis Melayu yang menyukai bunga nailofar?
Belum pernah didengar!'
Furqan mematikan komputer sebelum menghempaskan dirnya ke atas katil. Menerawang. Bunyi daun-daun zaitun berguguran dilanggar angin Mediterranean berhampiran  jendela kamarnya berdesir-desir. Sekarang masa untuk tidur,tetapi matanya belum mengantuk.
Telinganya menangkap irama sebuah nasyid daripada album Balada Makkatul Mukarramah oleh Nada Murni. Amir belum tidur rupanya...

SESEGAR NAILOFAR BAB 9

Furqan sedang enak meratah Ma'alim fi at-Thoriq karya Sayid Qutb sewaktu Aiman memanggilnya keluar ke ruang tamu. Keasyikannya meneroka isi pemikiran tokoh terulung Ikhwanul Muslimin itu terbantut. Dia bingkas mengekori Aiman ke luar.
Iqbal dan Amir juga rupanya serentak keluar dari kamar masing-masing apabila dipanggil Aiman.
"Perkenalkan,ini Amjad sepupuku. Amjad Abu Syateer."
"Amjad,ini Furqan sahabat seperjuangan kita dari Malaysia yang selalu aku ceritakan tu."
Amjad dan Furqan saling bersalaman dan berpelukan.
"Dan ini Iqbal,presiden pelajar Malaysia Irbid...macam Furqan,pelajar semester akhir Kulliyyah Syariah.
Iqbal juga disalami dan dipeluk kemudiannya.
"Dan ini Amir,pelajar tahun tiga,tukang masak paling handal di Darul Hawariyyin ni."
Aiman sedikit berseloroh. Dia sempat menepuk bahu Amir.
Semua tertawa. Amir juga diperlakukan seperti dua sahabatnya tadi.
Mereka duduk di sofa di hadapan televisyen. Amir masuk ke adpur,menjalankan tugas kegemaran seperti biasa,menyediakan minuman. Kebetulan petang ini gilirannya memasak.
Mereka berempat mula berbual. Dimulakan dengan taaruf,kemudian perbualan melarat kepada persoalan yang lebih besar menyangkut isu-isu semasa,khasnya jihad di Palestin. Ternyata,selaku anggota HAMAS yang telah berpengalaman melalui beberapa intifadah menentang Israel,Amjad tidak berbicara dengan dada kosong.Walaupun usianya baru menjangkau dua puluh lapan tahun,kematangannya terserlah. Sejarah penubuhan HAMAS dan kisah tokoh-tokoh mereka yang syahid atau diazab di dalam penjara Rejim Zionis yang diceritakan oleh Amjad mencetuskan rasa insaf dalam hati mereka. Malah menurut Amjad turut berkisah tentang cita-cita Yahudi menubuhkan negara Israel Raya dari Perlembahan Nil di Mesir hingga ke Lembangan Furat di Iraq.
Katanya,cita-cita Yahudi itu bermula dalam konfresi Zionis yang pertama di Switzerland pada 1897 di bawah kendalian Theodore Hertz. Resolusinya menganggarkan dalam masa lima puluh tahun,Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa akan jatuh ke tangan Yahudi dan negara pertama Israel ditubuhkan.1948,genap lima puluh tahun perencanaan itu,seluruh Yahudi mula bertumpu ke Asia Barat apabila Palestin berjaya diceroboh dengan bantuan Britain dan Perancis.
Amir terpaksa keluar membeli barang dapur yang kehabisan.Amjad terus bercerita,sebelum Amir pulang suku kam kemudian dengan termengah-mengah sperti baru dikejar anjing,lantas mematikan perbualan hangat mereka.
Amir menutup pintu perlahan-lahan. Kemudian meletakkan jari telunjuk di bibir.
Syyy!
Lapan biji mata tertumpu kepadanya.
"Kenapa Amir?" Tanya Iqbal.
"Syyy,ada kereta berhenti di simpang sana sebelum aku sampai di pintu pagar tadi. Gayanya mencurigakan. Dia...dia ekori aku dari depan kedai. Aku syak mukhabarat.
Masing-masing terkesima. Aiman sedikit pucat.

SESEGAR NAILOFAR BAB 8/5

Tatkala ibu Nusaibah datang menghidangkan air minuman dan kinafah yang masih panas,mereka mula beralih mauduk,menyentuh soal Mastura yang sudah dua minggu tinggal di situ. Ustaz Abu Yassier menyatakan keresahan mereka terhadap kehilangan Mastura yang tiba-tiba.
Abu Miqdad terdiam. Memahami tujuan sebenar kedatangan kami. "Saya tahu,tai rasanya eloklah Mastura tinggal di sini buat beberapa waktu sementara menunggu hatinya tenang.
"Kami tidak kisah jika dia ingin tinggal di sini. Asalkan dia selamat. Tapi,kalau boleh biarlah Mastura pulang sekejap.Sekurang-kurangnya kawan-kawannya tidak lagi berasa bimbang.
Masing-masing terdiam. Kipas di atas kepala ligat berputar.
"Kalau diizinkan,biarlah saya menemui Mastura di dalam. Saya ingin bercakap dengannya." Ustazah Ummu Humairah yang lebih banyak berbual dengan ibu Nusaibah tiba-tiba menawarkan diri.
Abu Miqdad tidak keberatan,malah meminta isterinya membawa Ustazah Ummu Humairah masuk ke dalam bertemu dengan Mastura.
Sambil menunggu perkembagan di dalam,mereka berempat menyambung sembang. Menyedari Abu Miqdad merupakan seorang penulis sejarah,Furqan tidak melepaskan peluang untuk bertanya beberapa fakta berkenaan dengan sejarah Jordan yang sering meragukannya.
Beberapa kenyataan Abu Miqdad agak memeranjatkannya. Sebagai bekas pensyarah yang bersikap amanah dengan ilmu,Abu Miqdad begitu telus dalam menyatakan kebenaran yang menurutnya jarang ditemui dalam buku-buku sejarah. Jordan asalnya tidak wujud,katanya. Yang ada hanyalah Sungai Jordan yang terletak dalam Palestin. Namun,sejurus selepas berlakunya Revolusi Besar Arab,dan tersungkurnya Khilafah Uthmaniyyah di tangan Kamal Attaturk,sejarah asalnya tidak boleh dipakai lagi. Hasil penjajahan Barat dan perpecahan Arab,negara-negara di Asia Barat begitu pesat membangun. Maka muncullah Arab Saudi,Jordan,Syria,Lubnan dan Palestin(belum dicampurkan dengan negara di Teluk.)Dan semestinya tidak ramai yang mengambil tahu perihal tantang ini,(penyelewengan fakta sejarah)malah tidak mengenali siapa sebenarnya pengasas negara Jordan ini,iaitu Syarif Hussin yang disokong kuat oleh Inggeris.
Malah jatuhnya Khilafah Uthmaniyyah juga kononnya dikait rapat dengan peranan yang dimainkan oelh pemimpin Arab. Mereka berpura-pura menyokong Istanbul,tetapi pada masa yang sama merekalah yang membantu Inggeris meletupkan stesen-stesen kereta api yang dibina oleh khalifah dari Istanbul ke Madinah demi menguatkan hubungan di kalangan negara-negara Islam.
Kini,disamping pengaruh penjajah yang sering menekan,sifat ta'sub,gelojoh dan tamak pemimpin-pemimpin Arab juga banyak merugikan. Wehdatul arab hanyalah sekadar slogan yang tidak mungkin disahut sesiapa. Dalam diam-diam sebenarnya kebanyakkan negara Arab saling berebut berbaik-baik dengan Barat.
Mereka bertiga terkejut mendengar penjelasan berani itu. Barangkali lelaki itu sudah lama memendamkan maklumat itu,tetapi sebarang kenyataan berbahaya seperti ini boleh membahayakan dirinya. Kini apabila pertanyaan itu diluahkan,Abu Miqdad tidak melepaskan kesempatan menyatakan apa yang dia tahu.
Sedang mereka menumpukan perhatian kepada penjelasan Abu Miqdad,Ustazah Ummu Humairah muncul sambil membibit sebuah beg pakaian yang sederhana saiznya. Perbualan rancak terhenti di ditu. Mengekorinya di belakang,seorang gadis mengatur langkah perlahan-lahan ke ruang tamu dengan diiringi Nusaibah dan ibu Nusaibah di belakang. Mastura menunduk sahaja,tetapi terdapat kesan tangisan dimatanya. Penuh sopan,dia melabuhkan punggung di sebelah Ustazah Ummu Humairah.
"Bagaimana Mastura?"Ustaz Abu Yassier bertanya.
Mastura senyum sedikit terpaksa,mengelih Ustazah Ummu Humairah disisinya.
"Alhamdullilah,dah selesai,"ujar Ustazah Ummu Humairah separuh berbisik di telinga suaminya.
"Dah selesai?"
"Mastura setuju ikut kita balik."
Abu Miqdad,Nusaibah dan ibunya hanya memerhatikan tanpa memahami sepatah apa pun yang diperkatakan.
"Betul Mastura ?" Ustaz Abu Yassier kembali memandang Mastura yang berbaju kurung warna merah semerdata dan tudung labuh warna kuning air.
Gadis berkulit hitam manis itu mengangguk.
"Ustaz,Ustaz Iqbal,Ustaz Furqan,...maafkan saya sebab sudah menyusahkan semua. Saya....saya tak sangka sampai jadi macm ni,"tuturnya tanpa sanggup megangkat muka. Ada baki air mata yang masih luruh. Nusaibah lekas-lekas memujuknya kembali.
"Tak apa. Barang yang lepas kita lupakan." Iqbal bersuara cuba mententeramkannya.
"Ya,Mastura.Luapkan yang sudah-sudah.Kawan-kawan serumah dah lama menunggu kepulangan anti,"tokok Furqan.
Terasa bagaikan satu beban besar terangkat dari bahunya.Alhamdullilah.

SESEGAR NAILOFAR BAB 8/4

"Sebab kek itu daripada kami semua,bukan daripada ana seorang,"tambah Aisya Safira lagi.
"Begitu ya?" Spontan nada lucu itu keluar dari mulutnya."Hm...nak beri semua sekali pun tak apa."
Aisya Safira tampak mahu tertawa,tetapi masih berdaya menahan. Kala itu dapat menyaksikan semanis-manis wajah gadis itu yang pernah disaksikannya.
Akukah yang dari sehari ke sehari menyenanginya?
Apakah godaan yang mahu menguji kesetiaanku selama ini?
-Aku akan bertahan daripada segala cubaan!
-Bertahannya untuk apa,jika kau sendiri memang menyukainya?
-Ira boleh setia,mengapa aku tidak?
-Meskipun sudah tiga bulan tanpa secebis khabar berita?
"Tak begitu Furqan?"
Furqan tersentak. Lamunannya terhapus.
"Na'am,ustaz. Apa ustaz katakan tadi?"
Iqbal dan Ustaz Abu Yassier lekas tertawa. Ternyata perbualan mereka jauh pergi meninggalkannya tanpa dia sedari.
"Kuat benar khayalan anta ni. Carilah seseorang buat penenang diri."
"InsyaAllah,ustaz."
"Sebenarnya kita ni,atas pengalaman ana sendiri,ketika masih bujang,jika menyukai seseorang perempuan itu...kita akan rasa tak tenang. Jadi kenalah ikat,supaya hati itu tenteram sedikit. Sebab itulah dalam Islam adanya khitbah atau hukum yang membolehkan lelaki atau perempuan melihat orang yang dihajatkannya sebelum terjadinya perkahwinan. Itu pun tak beberapa tenang juga selagi mereka tidak segera dinikahkan."
Ustaz Abu Yassier membaca ayat 21 Surah ar-Rum yang bermaksud:
"Antara tanda-tanda(kebesaran-NYA):menciptakan untuk kamu pasangan(suami-isteri) daripada (jenis)kamu sendiri,supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya,dan dijadikan-NYA antara kamu rasa kasih dan sayang."
"InsyaAllah,ustaz."Hanya itu yang mampu dijawab oleh Furqan pada saat ini.
"Tengok Iqbal,dia agak tenang sekarang. Ada berkat juga orang yang dah bertunang ni. Setidak-tidaknya melegakan kepala. Tak gitu,Iqbal?"
Iqbal hanya mengukirkan senyuman. Matanya tidak lekang daripada merenung sasaran. Di hadapan,terdapat lencongan untuk menyusur keluar ke Jerash.
Furqan kalau rasa berkenan dengan sesiapa,datanglah ke rumah. Nyatakan hajat,insya-Allah ana dan ustazah akan cuba menolong.Ramai lagi muslimat kita yang masih kosong."
"Ustaz jangan bimbang.Kalau ada...malam ni juga saya bawa ke rumah ustaz." Furqan sengaja berjenaka bagi meminggirkan keresahan dihatinya.
"Amboi,cepatnya dapat calon!"balas Ustaz Abu Yassier.
"Jodoh datang tanpa disangka ustaz. Nak buat macam mana?"
Satu kereta gamat dengan tawa.
Furqan mencari-cari idea untuk menukar mauduk. Kacau dibuatnya jika sentiasa diasak dorongan-dorongan sebegitu. Memang ramai siswi di sini yang terpilih akhlaknya. Dia tahu tu. Tapi hatinya ini sudah diisi dengan satu nama yang tidak mungkin dibuangnya,Syahira.
Mereka sampai di Ar-Rumman. Di sebelah kanan jalan berdiri gagah bukit-bukit yang agak rapat di antara satu sama lain. Di antara bukit-bukit itu,di tengah-tengahnya mengalir Sungai Zarqa' yang akan masuk ke Sungai Jordan di sempadan. Di situlah kawasan tadahan hujan utama negara ini. Sebentar lagi,mereka akan melintasi Baq'ah,perkampungan pelarian Palestin yang sudah menjadi pekan dan seterusnya Sweileh yang menjadi kubu Ikhwanul Muslimin dan dipenuhi ratusan pelajar Melayu.
Kereta terus meluncur. Destinasi mereka,Jubeiha yang terletak di pinggir ibu kota Amman masih jauh di depan.Dalam kepalanya,Furqan terus diasak pertanyaan,dapatkah Mastura dibawa pulang?
**********************************************************************************
Sejurus selepas loceng ditekan,seorang perempuan muda datang membuka pintu.
"Assalamualaikum." Furqan segera memberikan salam apabila gadis Arab itu menarik daun pintu. Walaupun agak janggal,anak gadis tetap menyambut tetamu dengan mesra.Barangkali ahli keluarganya yang lelaki tiada di rumah,fikir Furqan.
"Waalaikummussalam."
"Saya mencari Nusaibah.Boleh saya berjumpa dengannya?
Wajah gadis yang bertudung putih itu segera berubah,menyoroti Furqan dari atas ke bawah.
"Awak ni Furqan?Furqan yang bercakap di telefon malam tadi?
"Ya,memang saya."
"Saya Nusaibah. Mastura ada di dalam."
Ketika itu kedengaran suara parau dari dalam rumah besar itu.
"Siapa datang,Nusaibah?"
"Pelajar dari Malaysia,baba. Kawan Mastura."
Nusaibah segera memberi ruang. Seorang lelaki bertampang tenang muncul di pintu. Bibirnya mengukir senyuman mesra. Furqan terus memperkenalkan diri.
"Jemputlah masuk."
Furqan memanggil Iqbal,Ustaz Abu Yassier dan Ustazah Ummu Humairah yang sedang menanti di kereta. Sebentar kemudian,mereka berempat sudah ada di ruang tamu rumah Nusaibah. Perabot bermutu tinggi yang tersusun rapi meyakinkan mereka bahawa keluarga ini boleh digolongkan berada.
Bapa Nusaibah membahasakan dirinya Abu Miqdad agak peramah. Bekas pensyarah di Universiti Jordan ini menjadikan penulisan buku-buku sejarah sebagai profesionnya setelah bersara agal awal. Mengaku tulus,dia menyukai pelajar Melayu,mengikuti perkembangan politik Malaysia,malah katanya pernah ke Malaysia semasa zaman Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri. Tun Abdul Razak memurutnya,negarawan Nusantara yang begitu disenangi oleh pemimpin-pemimpin negara Arab pada awal 70-an.


SESEGAR NAILOFAR BAB 8/3

Bertuah lelaki ini mahu mengenakan aku!
"Betul,Furqan?"
Furqan teragak-agak untuk menjawab.tetapi kedua-dua lelaki itu terlebih dahulu tertawa.Barangkali Ustazah Ummu Humairah di belakang pun turut tergelak,paling tidak hanya tersenyum mendengar usikan mereka.
"ustaz boleh tolong jika anta mahu." Ustaz Abu Yassier menyatakan kesanggupannya untuk membantu."Anta khirrij semester inikan?"
"Ya,ustaz."
"Hm...apa salahnya mencari pilihan di sini. Sebelum pulang,kan bagus sudah ada teman hidup." Ustaz Abu Yassier semakin mencucuk jarum."Umur pun sudah masuk dua puluh tiga."
Furqan hanya menelan air liur apabila Ustaz Abu Yassier berkata demikian.
Memang ramai pasangan yang telah disatukan oleh Ustaz Abu Yassier dan Ustazah Ummu Humairah.
Ada yang pulang bernikah di tanah air,ada yang bernikah di sini pada musim-musim percutian,ada yang sekadar 'mengikat'agar calon teman hidup tidak diganggu orang lain. Malah lelakiyang berada disebelahnya turut meminta bantuan pasangan suami isteri ini. Dia masih ingat Iqbal bertemu dengan Asma' yang dilamarnya di rumah Ustaz Abu Yassier dalam liqa' pertama untuk membincangkan perkara-perkara yang bersangkut dengan masa depan mereka berdua.
Tujuan itu murni,bisiknya dalam hati. Memudahkan jalan orang yang ingin mendirkan rumah tangga merupakan kerja yang mulia. Umpama kita membantu orang untuk membina masjid. Besar ganjaran pahalanya. Tapi aku dah punya pilihan sendiri!
"Saya belum terfikir lagi soal itu,ustaz.Nantilah."
Akhirnya Furqan mengambil keputusan untuk mendiamkan diri. Lebih selamat jika tidak melayan. Selagi dia bersuara,selagi itulah Iqbal dan Ustaz Abu Yassier akan bercakap mengenai soal ini. Dia kenal benar dengan perangai Iqbal yang suka mengusik dan mengenakannya,dan sejak akhir-akhir ini Iqbal sering mengaitkannya dengan Aisya Safira.Kelak,didengari oleh Ustaz Abu Yassier dan Ustazah Ummu Humairah,bertambah besarlah cerita!
Aisya Safira?
Ini satu lagi masalah. Sering kali dia cuba melupakan gadis kelahiran Terengganu itu,tetapi selalunya gagal. Entah mengapa wajah manis berseri itu semakin kerap melintasi di matanya kebelakangan ini. Sama kerapnya dengan wajah Syahira.
Akukah yang perlahan-lahan menyukainya?
Sejak Aisya Safira menghadiahkan kek tempoh hari,gelisahnya memang kurang enak.Ditambah pula dengan sikap Iqbal yang suka mengaitkan dirinya dengan Aisya Safira,dan selalu memyebut nama dan kebaikan gadis itu,malah agak keterlaluan mendakwa Aisya Safira mengilainya. Entahlah dia tidak mengerti.
"Aisya,sebentar!"
Gadis itu terkejut. Mungkin tidak menyangka dia akan menegurnya mendadak begitu di depan pintu utama Kulliyyah Adab itu. Melihat pelajar tidak ramai ketika itu,Aisya Safira berhenti dan berpaling semula ke arahnya.
"Ada apa?"
"Terima kasih atas kek tempoh hari."
Gadis bertudung labuh dengan niqob itu tersipu dengan paras yang sedikit merona merah. Dia seperti melihat kuntum mawar sedang mengelopak segar.
"Kawan-kawan dari Darul Hawariyyin kata sedap,"pujinya jujur."Tapi boleh saya nak tahu...."
Kening halus Aisya berkerut.
"Apa dia?"
"Tarikh lahir Aisya ?"
"Untuk apa?"
"Nak balas kek Aisya kasi." Furqan sengaja menduga.
Aisya Safira tersentak. Sedikit gugup. Berfikir sebentar.
"Nanti ana bincang dengan ahli rumah,kalau mereka bersetuju,kami akan beri tarikh lahir kami."
Kali ini keningnya pula yang berkerut. Kata-katanya itu seperti mahu mengusiknya pula. Memanglah gadis ini thiqah!

SESEGAR NAILOFAR BAB 8/2

"Furqan ni banyak berfikir ustaz,sebab tu kurang tidur,"jolok Iqbal. "Macam-macam dia fikirkan.
Furqan menjeling Iqbal di sebelah. Sahabatnya itu tersengih,tetapi mata masih tajam ke hadapan.
"Orang bujang tak elok banyak berangan-angan. Kelak dipermainkan syaitan. Kalau rasa ada yang berkenan di hati,eloklah dipercepatkan urusannya."
"Calon dah ada,tapi belum berani ustaz."
Iqnal menokok lagi.

SESEGAR NAILOFAR BAB 8/1

Iqbal memotong sebuah lori,tetapi terpaksa menggunakan gear yang lebih rendah apabila mereka mendaki sebuah bukit. Kelihatan Jabal Umm-ad-Daraj setinggi 1247 meter berbalam-balam di jihat belah kanan. Di belakang bukit itu setahunya terletak pekan Ajloon yang terkenal dengan Kota Rabadh tinggalan Salahuddin al-Ayubi. Beberapa minit lagi di depan mereka akan menempuh Jarash,daerah yang dikatakan telah wujud sejak zaman Rom lagi dan terkenal dengan Mahrajan Jerashnya yang diadakan pada musim panas setiap tahun.
Furqan menguap. Dia kurang tidur  malam tadi. Dari rumah Ustaz Abu Yassier,mereka bertiga terus ke Wasatul Balad untuk menyewa kereta. Setelah hampir sejam berputar di seitar bandar mencari kereta sewa yang memang susah didapati pada hujung minggu,melainkan jika ditempah awal-awal . Akhirnya nasib menyebelahi mereka di pusat menyewa kereta yang terakhir dikunjungi. Sebuah kereta Hyundai yang masih baru dapat disewa dengan harga tiga puluh dinar untuk tempoh dua puluh empat jam.
Setibanya di rumah,hampir jam satu,sempat dia menulis surat ringkas untuk Syahira sekadar bertanya khabar mengapa sepi tanpa sebarang khabar berita. Dalam kepayahan diasak maslah persatuan yang begitu menguji ini,wajah Syahira sering pula melintas di dalam benak fikiran dan ruangan hatinya. Memang rindu sering bertamu. Walaupun kesabarannya menanti hampir luluh namun kesetiaannya masih ada..
Tetapi kemudian surat itu dibuang sahaja. Kalau Syahira sanggup mengujinya begitu,mengapa dia harus mengapa dia harus mengalah? Biar sama-sama keputusan berita. Biar sama-sama azab menanggung derita,tekad hatinya.
Seingatnya,jam dua baru dia terlelap. Justeru sejurus selepas solat subuh,masuk jam 4.19 pagi,dia terpaksa menyambung tidur sepulangnya daripada berjemaah di masjid.
Furqan menguap lagi.
"Mengantuk benar nampaknya Furqan?" tegur Ustaz Abu Yassier.
"Biasa saja,ustaz."
Dia tersenyum sendiri. Tidak sangka lelaki di belakang yang sudah dianggap sebagao abang itu memerhatikan tindak-tanduknya sejak tadi.

SESEGAR NAILOFAR BAB 8

Hyundai hijau berjaya melepasi persimpangan al-Husn sebelum lampu isyarat sempat bertukar warna. Coaster di belakang gagal mengekor jejak,terpaksa berhenti apabila lampu isyarat bertukar warna merah menyala. Iqbal menarik nafas lega. Kawasan pekan yang sesak dengan kereta pada awal pagi,ditambah dengan lampu isyarat yang agak banyak,selalu sahaja melambatkan perjalanan sudah ditinggalkan. Dia mulai memandu dengan kelajuan biasa.
Furqan memainkan nasyid untuk menghilangkan ngantuk. Suara Sami Yusof mengalunkan lagu sengaja dipasang perlahan agar tidak terlalu menganggu ketenteraman perjalanan Ustaz Abu Yassier dan Ustazah Ummu Humairah yang mengisi tempat duduk belakang berbual-bual perlahan. Yassier dan Humairah ditinggalkan di bawah jagaan beberapa orang siswi yang tinggal berjiran dengan mereka.
Akhbar As-Sabeel yang sempat dibelinya di stesen minyak tadi ditatap. Jarang sekali dia terlupa membeli tabloid ini setiap hari khamis . Perkembangan mutakhir dunia Islam dan Arab ada dalam lidah rasmi Ikhwanul Muslimin ini. Berita utama muka depan memuatkan liputan tentang dua pemuda Palestin terbunuh di Rafat dekat Ramallah dalam tunjuk perasaan. Walaupun beritanya terlalu biasa ,tetapi Furqan berasa sayu menatap gambar ibu salah seorang mangsa yang sedang menangis di sisi jenazah anaknya. Rengusnya terdengar di hujung helaan nafas.
Yang lain-lain meskipun tidak beberapa menarik dibacanya juga. Namun berita oleh pemerhati politik Ikhwan di muka surat enam dibacanya sebanyak dua kali.
"Apa yang menarik?"tanya Iqbal yang sempat menangkap keluhan yang berat oleh sahabatnya itu.
"Nenek tua Yahudi yang nyayuk tu menyibuk lagi."
"Yahudi tua tu? Apa nak dibuatnya?"
"Cuba ganggu hubungan baik Kerajaan Jordan dengan pejuang HAMAS. Washington khabarnya memberi isyarat akan menghentikan sokongan Dolar terhadap Dinar sekiranya Amman terus-terusan melindungi HAMAS. Kalau mahu kekal tinggi,hentikan suaka politik terhadap HAMAS.
"Bedebah betul!" gerutu Iqbal.
"Sampai tahap macm tu sekali?" ustaz Abu Yassier bersuara dan turut mencelah dengan perbualan mereka berdua.
"Yahudi punya kerja ustaz,sukar kita nak jangka. Sungguh licik."
"Aiman tentu tak senang duduk kalau membaca berita ini,"desis Furqan.
Dia teringatkan Aiman yang jelas keresahan minggu ini sejak abangnya ditangkap polis Yahudi. Mujurlah lelaki itu kuat dan dapat menghadapi imtihan dengan tenang walaupun jiwanya berkecamuk. Awal pagi tadi Aiman telah keluar ke Amman menziarahi sepupunya di Sweileh. Apakah perkembangan terbaru ini akan menggugat konsentrasi pengajiannya lagi? Mudah-mudahan tidak.

SESEGAR NAILOFAR BAB 7/2

Mereka bersalaman sebelum duduk bersila di ruang tamu. Ustaz Abu Yassier hilang di dapur,barangkali meminta isterinya Ustazah Ummu Humairah menyediakan sesuatu.
Seketika sepi. Pandangan masing-masing mengitari ruang tamu rumah Ustaz Abu Yassier yang begitu seadanya. Tiada sofa lembut melainkan satu hamparan permaidani buatan Syria yang menjadi alas duduk. Ada rak setinggi dua meter berisi kitab-kitab pelbagai jenis. Di sudut kanan,sebuah radio terletak di atas sebuah meja yang turut dipenuhi dengan timbunan kitab kelihatan masih baru.Ketara,keluarga ini hidup dengan penuh zuhud. Ilmu lebih diutamakan daripada perhiasan.
Spontan terlintas dalam kepala Furqan hadis Nabi yang berbunyi:Dunia itu perhiasan,dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah.Melihat kepada sahsiah Ustazah Ummu Humairah selama dia mengenali keluarga kecil ini,dia yakin Ustaz Abu Yassier mempunyai perhiasan yang amat bernilai. Alangkah beruntungnya Ustaz Abu Yassier! Patutlah lelaki itu tidak terlalu mengejar perhiasan dunia sebaliknya mengejar ilmu.
Bapa kepada dua orang anak ini muncul semula dan duduk di sebelah Furqan.
Mana Yassier dan Humairah,ustaz? Senyap saja rumah ni."
"Dah tidur pun. Letihlah tu,sepetang berjalan di Amman tadi."
"Ustaz ke Amman?"
"Borong kitab. Kebetulan biasiswa ana baru sampai."
"Ada kitab baru ustaz?"
"Taklah banyak sangat,tapi adalah juga beberapa terbitan terbaru Muassasah ar-Risalah dari Damsyik. Antum dah beli kitab baru Dr. Abdul Karim Zaidan?"
"Kitab baru Dr.Abdul Karim Zaidan? Apa judulnya?" Furqan menunjukkan minat. Banyak kitab ulama itu yang dimiliki olehnya. Kalau ada yang terkini,dia tidak bertangguh untuk mencari. Siapa tidak kenal dengan Dr.Abdul Karim Zaidan? Penulis Ensklopedia Hukum-hakam wanita dan Rumah Tangga Islam. Namanya sebaris dengan Dr.Yusof al-Qardhawi.
"Al-Mustafad min Qasasil Qur'ani il...li Du'ah.Bagus kitabnya tau."
"Kitab baru tu." Iqbal mengakuinya. "Memang kami belum beli. Mana kitabnya ustaz?"
"Nanti kejap ana ambil." Pelajar peringkat sarjana Tarbiah Islamiyyah itu bingkas bangun melangkah beberapa tapak ke meja yang dipenuhi dengan tinbunan kitab.
"Rasanya pernah dengar judulnya. Ya,kalau tak silap saya ada belek sekejap di Maktabah ar-Risalah minggu lepas ." Syuib mencelah."Bagus isinya saya tengok. Cuma....
"Cuma apa?" Ustaz Abu Yassier kehairanan.
"Cuma tak ada duit nak beli,"jelas Syuib dalam nada bersahaja.
Ustaz Abu Yassier yang sudah mencapai Al-Mustafad di atas meja menekup mulutnya menahan tawa. Furqan dan Iqbal serentak tergelak sambil menggeleng-geleng. Lawak lelaki ini memang selalu menjadi.
"Anta ni Syuib,ada-ada saja."
"Biasa saja ustaz." Syuib menyeloroh..."Er...kami datang ni dengan membawa hajat,ustaz." Selanya  sebagai muqadimah perbincangannya.
"Hajat? Siapa yang berhajat?"
Ustaz Abu Yassier duduk semula,memandang wajah mereka bertiga. Ketawa meletus semula. Masing-masing lekas menangkap apa yang dimaksudkan. Memang menjadi suatu budaya pelajar Malaysia di Timur Tengah akan menemui mutazawwij untuk menyatakan hajat sekiranya mereka ingin merisik seorang gadis. Biasanya pasangan suami isteri ini akan menjadi wasitah di antara siswa dan siswi yang terbabit sehinggalah mereka berlangsungnya pertunangan. Mereka ibarat pengganti ibu bapa di rumah dalam proses membina bait muslim di sini.
"Kamu berhajatkan siapa Syuib?" Lurus sahaja pertanyaan Ustaz Abu Yassier."Ana boleh uruskan. Ramai lagi akhawat kita yang belum berpunya."
Mereka bertiga serentak ketawa lagi.
"Bukan hajat itu ustaz."
"Habis?"
Syuib menepuk paha Furqan,manakala Iqbal sedikit ralit membelek Al-Mustafad.
"Kami nak minta nasihat ustaz sikit berhubung dengan masalah yang dihadapi PERMAI la ni."
"Tentang Mastura ke?"
Angguk.
"Kami yakin ustaz dah tau keseluruhan ceritanya ..... cuma ada sedikit perkembangan terbaru."
"Antum dapat kesan di mana keberadaan dia sekarang?"
Furqan tersenyum. Kepalanya dianggukkan. Sempat dia mengelih jam di tangan. Lima belas minit lagi jam sebelas.
"Begini ustaz."Furqan segera memerihalkan perkembangan terbaru yang mereka ketahui lewat isyak tadi selengkapnya. Iqbal dan Syuib menokok mana-mana yang kurang. Ustaz Aby Yassier yang telah dua penggal menjadi Penasihat PERMAI itu mengangguk-angguk.
"Jadi?"
"Kami datang nak minta buah fikiran ustaz."
Terdengar bunyi ketukan yang lembut di pintu menghala ke dapur. Barangkali Ustazah Ummu Humairah yang memanggil.
"Sebentar ya." Ustaz Abu Yassier hilang di sebalik langsir pintu sebelum muncul semula menatang dulang berisi empat biji cawan,teko dan sepiring jejemput pisang.
"Jemputlah makan."
"Antum dah minta pandangan penasihat-penasihat lain?" sambung Ustaz Abu Yassier sejurus selepas meneguk air kopinya yang beransur suam.
"Masa dah tak ada ustaz,tak sempat. Kami ingat malam ni juga kita kena buat keputusan,esok terus ambil tindakan,"ujar Iqbal.
Suasana terbiar khali seketika. Masing -masing berfikir. Furqan berselawat beberapa kali sambil matanya tamakninah merenung air kopi yang masih tersisa di dalam cawan. Asap nipis sudah sirna.
"Saya baru ternampak satu jalan." Furqan bersuara tiba-tiba. Semua pandangan tertumpu ke arahnya.

SESEGAR NAILOFAR BAB 7/1

Mereka yakin,pasti Abu Yassier sedang mengintai kelibat mereka bertiga menerusi lubang kecil yang terdapat di pintu.
Pintu dibuka.
"Assalamualaikum."
"Ahlan wa sahlan,"ucap Ustaz Abu Yassier sambut dengan senyuman sesudah menjawab salam. "Jemputlah Iqbal,Furqan...hah,Syuib pun ada. Lama dah tak datang ke mari ya?"
"Er...kami ni tak menganggu ustaz ke?"Iqbal berbasa-basi.
"Taklah. Ana biasa tidur lewat. Antum macam tak biasa pula."
"Manalah tahu ustaz bangkit tahajjud awal malam ni." Syuib berseloroh,membuatkan masing-masing menyeringai.
'Tahajjud apa,Ib,baru pukul sebelas. Mengarutlah anta ni."

SESEGAR NAILOFAR BAB 7

Kelas talaqqi bubar. Furqan meminta Amir dan Mus'ab memimpin Abu Munzir pulang ke rumah,satu tugas yang jarang diserahkan kepada orang lain. Solehhuddin,Nik Aminnuddin,Hambali dan Ridhwan dikehendaki memastikan semua siswi selamat pulang ke rumah masing-masing. Kebanyakkannya tinggal di Duwar Nasiem dan Duwar Jami'ah. Namun ada juga yang menetap di Duwar Iskan dan terpaksa dihantar dengan teksi. Keselamatan siswi memang menjadi keutamaan apabila sesuatu program selesai selepas isyak. Malam sentiasa berbahaya.
Furqan perasan Aisya Safira yang bertudumg labuh dan berniqob hitam sempat menjeling kearahnya sebelum hilang dalam kelompok siswi yang berjalan pulang beramai-ramai. Spontan dia menyedari jumlah siswi yang hadir lebih dua pertiga daripada kehadiran siswa pada malam ini.
Ya,memang engkau menang!
Iqbal dan Syuib mendapatkannya sebaik sahaja masjid lenggang.Furqan mengunci pintu besi masjid menggunakan anak kunci yang diberikan Abu Munzir kepadanya,dengan syarat dia mesti datang lebih awal ke masjid setiap waktu subuh untuk melaungkan azan pertama kira-kira sejam sebelum masuk waktu.
"Apahalnya si Aiman tadi?"
Furqan sudah menjangka akan pertanyaan tersebut. Hanya mereka bertiga yang berada di situ. Lampu jalan yang terpancak di depan pintu gerbang masjid cukup untuk menerangi persekitaran.
"Ada perempuan Arab telefon."
"Perempuan Arab?"
Pertanyaan dibalas dengan anggukan.
"Katanya dari Amman." Furqan sengaja memancing reaksi dua pemimpin tertinggi PERMAI itu. "Lebih tepat lagi... dari Jubeiha."
"Baiklah aku akan ceritakan. Lepas tu,kita kena buat keputusan segera,malam ni juga." Furqan merapati tembok batu separas dada kira-kita semeter di kanannya yang mengelilingi seluruh kawasan masjid. Bersandar dia di situ.
"Seorang gadis Arab,Nusaibah namanya,katanya dia kawan Mastura dari Universiti Jordan. Dia....nak bantu kita." Dia dapat melihat wajah Iqbal dan Syuib yang kian tidak sabar untuk mendengar butiran katanya. "Dia dapat nombor telefon Darul Huwariyyin daripada pelajar kita di Amman."
"Menurutnya Mastura ada dirumahnya sekarang. Syukur,alhamdullilah,dia selamat.Puas dia pujuk supaya balik ke sini,tapi dia berkeras tak mahu. Tanpa pengetahuan Mastura,dia hubungi kita,sebab dia mahu Mastura terus sambung belajar. Jadi,dia cadangkan kita datang dan berbincang. Mana tahu,dengan cara itu Mastura minat untuk kembali belajar semula. Itu saja."
Iqbal dan Syuib menarik nafas lega mendengar penjelasannya.
"Masalahnya sekarang macam mana kita nak pujuk Mastura dan bawa dia balik? Aku tak fikir Mastura sudi sudi jumpa dengan kita. Kita ni lelaki,malulah dia. Dalam masa yang sama,aku tak yakin pihak siswi dan kawan-kawan serumahnya boleh memujuknya.
"Masuk akal juga. Silaphari bulan,lari ke lain pula budak tu,lagi susah kita."
"Kita kena buat tindakan terbijak yang membolehkan kita membawa pulang Mastura besok."
"Apa yang harus kita lakukan sekarang?" Iqbal bersuara perlahan. Sebuah pertanyaan yang ditujukan kepadanya dirinya sendiri juga. Kepalanya menengadah ke langit mencari bulan yang tidak kelihatan. Barangkali tersorok di mana-mana.
Bungkam.
Masing-masing mencari idea. Apa tindakan selanjutnya yang wajar diambil. Mereka kena cepat bertindak. masa semakin menyempit. Minggu depan imtihan kedua pula yang akan menjelang. Dalam semester musim panas cuma sepanjang lapan minggu,segala-galanya menjadi terlalu pantas. Sedangkan masih banyak perkara yang harus dikejar dan menagih perhatian.
"Al-Waajibat akhtar minal awqat,kata Hasan al-Banna...kewajipan itu lebih banyak daripada waktu. Kita sekarang sedang diuji dengan waktu. Bengangnya aku. Masa imtihan bertunda-tunda macam nilah masalah selalu datang,"keluh Syuib. Sebagai Timbaln Presiden PERMAI dia juga sudah seminggu tidak senang duduk. Kemelut ini memang meresahkan semua.
MAsing-masing mengangguk,mengiyakan kata-katanya itu.
"Entahlah. Yang pasti kita kena lakukan sesuatu esok. Apa kata kalau kita pergi ke rumah penasihat sekarang? Apa guna lantik penasihat jika nasihatnya tidak diminta. Ustaz Abu Yassier tentu ada di rumah." Furqan menyarankan.
"Elok juga tu.Dalam kes seberat ini kita banyak bertindak sendiri. Apa salahnya kita minta pendapat orang yang lebih tua pula?"Iqbal lekas memberikan persetujuan.
"Kau,macam mana Ib? Ada cadangan lain?"
"Kalian berdua selalu berfikir benda yang sama.Presiden dan setiausaha seotak."Syuib menurut saja. Mereka berdua sering sependapat dalam banyak perkara. Sehati sejiwa,kata kebanyakkan teman.Mereka berjalan kaki ke Jalan Eidun yang cuma seratus meter ke sebelah kiri masjid,menahan sebuah teksi Mercedes dan menuju ke Duwar Jami'ah. Di negara yang tidak membenarkan penggunaan motorsikal ini,teksi menjadi pengangkutan awam yang popular selain coaster dan bas.
Teksi melalui simpang empat Duwar Nasiem. Dulunya merupakan sebuah bulatan yang agak luas,tetapi diubah menjadi simpang empat yang berlampu isyarat setelah semakin banyak kenderaan yang berlaga di situ. Kini mereka melintasi Pusat Rekreasi Irbid yang masih bercahaya. Sebuah marry go around yang berpusing tanpa penumpang. Retoran Pizza Hut di seberang jalan lenggang tanpa pengunjung. Namun jalan Eidun-Balad belum sunyi dengan kendaraan.
Sebenarnya mereka sedang menuruni sebuah bukit. Duwar Nasiem terletak di atas bukit. Kaki bukitnya Duwar Jami'ah. Sebelah selatan bukit ini dinamakan Hayyu Janubie yang akan berakhir di Pekan Eidun. Sebelah utaranya pula dinamakan Balad yang bermaksud bandar. Deretan kedai,pasar dan pusat membeli-belah yang berjujut di sepanjang Jalan Eidun inilah yang membentuk sebahagian bandar Irbid sebenarnya. Di penghujung jalan inilah baru akan ditemui Wasatul Balad yang menjadi pusat bandar Irbid.
Kurang lima minit,terksi berwarna kuning itu sampai di Duwar Jami'ah yang masih bermandi cahaya neon. Esok hari khamis,hari cuti mingguan. Bagai selalu,golongan muda-mudi Irbid ramai yang keluar berpeleseran mencari hiburan pada malam ini.
Teksi mengelilingi bulatan Duwar Jami'ah yang dihiasi dengan replika sebuah teko dan sebiji cawan di tengahnya. Bau daging syawarma yang dibakar menusuk deria hidu. Kemudian teksi kembali semula ke hadapan Hotel Hijazi yang telah dilintasi tadi dan menemui simpang tiga tidak jauh dari Bab al-Gharbie dan Kulliyyah Iktisad,membelok ke kanan menuruni bukit sebelum membelok ke kiri. Mereka bertiga turun di situ setelah Syuib membayar tambang setengah dinar.
Kawasan perumahan Wara' Fudhuq Hijazi,yang dinamakan sedemikian kerana terletak di belakan Hotel Hijazi,agak lenggang. Pelajar Melayu di Universiti Yarmouk paling ramai tinggal di sini. Sewa rumah agak murah,infrastuktur banyak,dekat dengan bandar,dan yang paling penting cuma memerlukan kurang sepuluh minit untuk sampai ke dewan-dewan kuliah.
Melangkah beberapa tapak,mereka sampai ke sebuah bangunan milik seorang usahawan Kuwait itu disewa oleh siswi Melayu. Mereka mendaki ke tingkat dua,sebelum menekan loceng di pintu.
"Siapa?"Kedengaran suara Ustaz Abu Yassier dari dalam.
"Kami...balas Iqbal tanpa menyatakan siapa.

SESEGAR NAILOFAR BAB 6


Sudah lima hari  usaha mengesan kehilangan Mastura berjalan. Natijah pencariannya masih sifar. Dia telah menghubungi Persatuan Mahasiswa Malaysia Mafraq(PRISMA),Persatuan Mahasiswa Malaysia Amman(PRIMMA),Persatuan Mahasiswa Malaysia Mu’tah(PERMATA) dan beberapa kelompok pelajar Melayu agak besar di Universiti Philadelphia dan Universiti Hashimiah beberapa kali. Maklum balas masing-masing amat mengecewakan. Gadis itu tidak pernah dilihat muncul di mana-mana.
Tambah mengecewakan Furqan,semakin ramai siswi mempertikaikan kredebiliti PERMAI. Seolah-olah mereka tidak berbuat apa-apa. Kadangkala hatinya geram melihat sikap segelintir siswi dan terus mengingatkannya kepada tindakan Saffiya ‘menyerangnya’ kelmarin. Mereka sewajarnya saling member I sokongan dan bekerjasama.
Isyak lima minit lagi akan masuk,tetapi Furqan sudah mengatur langkahnya menuju ke masjid. Kitab Tahzim Sirah Ibn Hisyam karangan Ibn Hisyam sendiri didakap erat ke dada. Malam ini kelas pengajian Sirah Nabawiyyah anjuran PERMAI akan bermula. Dia telah meminta Mus’ab dan Solehuddin selaku exco Biro Perhubungan dan Biro Ilmiah menyebarkan iklan ke setiap rumah sejak dua hari yang lalu. Harap malam pertama ini sambutannya menggalakkan.
“Terima kasih sebab membantu meringankan tugas-tugas ana.” Mus’ab mengucapkannya selepas mereka bermesyuarat di kafetaria kelmarin. “Sepatutnya ana yang merancangkan semua ini.”
“Tak mengapa… lagipun ana suka kerja-kerja macam ni. Ana harap anta tak berkecil hati.” Dia cuba mengambil hati Mus’ab,Exco Biro Ilmiah yang berada di tahun tiga Kulliyyah Syariah. Bimbang juga dituduh anak buahnya’memandai sendiri’ walaupun portfolio sebagai setiausaha agung membolehkan melakukan pelbagai tugas dan bebas membantu biro-biro.
“Masakan!”
“Kalau begitu,baguslah. Ana tau,anta begitu sibuk dengan penyelenggaraan kelas-kelas tambahan untuk para pelajar yang bermasalah.” Dia mengerling kea rah Iqbal yang sedang berbual dengan Syuib. “Jadi ana dan presiden cuba menolong mana-mana yang patut supaya kebajikan ilmiah terhadap pelajar lain tidak teranai. Budaya belajar halaqah ni besar fadilatnya. Dulu dah ada,terhenti sekejap,eloklah kita mulakannya semula.
“Allah jua yang membalas usaha anta ni,Fur. Anta buat ana terharu. Walaupun tinggal beberapa minggu saja lagi di sini,tapi masih sempat berbuat sesuatu untuk PERMAI.”
“Untuk Islam.” Dia membetulkan.
“Ya,untuk Islam.”
Sebuah kereta meluncur agak laju dari arah depan. Furqan terpaksa berjalan ke tepi sedikit. Dia dapat melihat dari jarak 250 meter di depan menara Masjid Duwar Nasiem dihiasi beberapa batang lampu kalimantang yang berwarna hijau. Kebanyakkan masjid di negara ini memilih lampu menara berwarna hijau selain warna putih untuk dinyalakan pada malam hari.
Sebentar lagi azan akan berkumandang dari menara itu. Selalunya Abu Munzir yang menjadi muezzin pada waktu isyak kerana bilal tinggal agak jauh dari masjid. Imam buta itu jarang tiba lewat di masjid ketika waktu apa pun. Biasanya dia ditemani anaknya Baha’ untuk ke mana-mana,tetapi kerap juga dilihatnya Abu Munzir bertongkat seorang diri ke masjid. Dipandu dengan mata hatinya sendiri.
Furqan terlalu menyanyangi lelaki buta itu. Abu Munzir,merupakan seorang guru sekaligus mursyidnya telah banyak mencurahkan ilmu kepada pelajar Melayu. Sejak dua tahun yang lalu,dia dan Iqbal mendampingi orang tua itu untuk mempelajari pelbagai ilmu,terutama sirah,hadis fitan,dan tarikh. Sebelum menjadi buta,Abu Munzir berjaya memiliki sarjana dalam bidang Tarikh Islami dari Universiti Damsyik. Tetapi hairan mengapa thaqafahnya begitu mantap. Tetapi sakit mata yang kronik kira-kira dua puluh tahun yang lalu meragut penglihatannya.
Langkahnya tambah laju. Ramaikah pelajar yang datang pada malam ini?
Kebiasaannya jika kelas pengajian seperti ini dibuka,siswi yang akan hadir lebih ramai daripada siswa. Mereka jarang melepaskan  peluang sebegini lantaran kurag berkesempatan untuk ke mana-mana berguru dengan sesiapa sebagaimana lelaki,disamping faktor keselamatan yang menjadi penghalang melainkan jika beberapa pensyarah yang sudi meluangkan masa mengadakan kelas tafaquh untuk pelajar-pelajar Melayu. Dahulu memang telah diadakan di masjid university,malangnya sekarang kebanyakkan pensyarah yang berasal dari Iraq kurang selesa dengan sikap curiga berlebihan yang ditunjukkan oleh pihak berkuasa,lantas menangguhkan kelas-kelas yang sedang berjalan.
Ramaikah siswa yang akan hadir pad malam ini?
Pulang daripada kuliah zuhur tadi,dia sempat menegur Aisya Safira yang kebetulan baru selesai kuliah. Gadis jurusan Bahasa dan Sastera Arab sepertinya itu memakai jubah biru tua yang disesuaikan dengan tudung labuh dan niqob berwarna putih.
Ketenangan seperti biasa tergambar di sebalik sehelai niqob itu.
“Bagaimana imtihan kelmarin?” Aisya Safira lebih dahulu bertanya.
“Alhamdullilah. Pensyarah baik hati.” Tangannya dimasukkan ke dalam poket. “Lagipun maddah tahun satu sengaja disimpan untuk semester ini,senanglah sikit.”
Furqan tersenyum sendiri. Tarikh al-Hadharah sengaja diambilnya awal-awal. Disimpan untuk semester terakhir. Yang payah selalu didahulukan agar tidak terlalu tertekan pada akhir pengajian. Itu strateginya.
“Kami mohon maaf sebab ganggu Furqan sebelum imtihan.”
“Biasa saja. Saya tak rasa terganggu pun.”
Beberapa orang pelajar Arab lalu-lalang,malah ada yang di ruang legar Kulliyyah Adab itu agak bising. Ada juga pelajar Melayu yang melintas dan sempat memandang kea rah mereka berdua. Furqan dapat merasakan bahawa Aisya Safira kurang selesa dengan keadaan itu.
“Kami tidak sepatutnya buat macam tu.”
Furqan diam dan membiarkan gadis itu berbicara.
“Yalah,Furqan sedang tumpukan untuk imtihan,kami pula datang dan cakap yang bukan-bukan. Kami rasa cukup bersalah.
“Saya faham. Saffiya kelmarin mungkin tertekan. Tak apalah,biarlah saya yang jadi pendengar. Ya,mungkin juga saya dan Iqbal yang banyak bersalah hingga Mastura masih gagal ditemui. Kami lembap. Dah nak khirrij ni pun masih tak tau buat kerja.”
Nadanya agak merendah. Ada waktunya seseorang itu memang perlu akur dengan kelemahan diri sendiri. Aku manusia daif yang serba kekurangan,bisik kalbunya.
Furqan melihat gadis sopan di hadapannya menunduk,mendakap erat buku nota berkulit tebal yang dibawa. Apakah dia diterpa rasa bersalah oleh kata-katanya tadi?
“Aisya….”
Gadis itu mendongak. Sedetik mata mereka berlaga sebelum masing-masing  melarikan pandangan. Gamam seketika.
“Tukar mauduk lain. Saya serabut memikirkan masalah ini. Cubalah kita bercakap perkara yang tidak menimbulkan ketegangan,”sambung Furqan,selanjutnya berdehem beberapa kali.”Em… saya harap sambutan mala mini menggalakkan.”
“Er…Sambutan apa?” Aisya Safira sedikit gugup.
“Kelas talaqqi. Dah lupa atau belum dipromosikan?”
“Oh,yang itu…alhamdullilah. Saya dan Athira serta AJK kami dah sebarkan pun. Tengok sajalah malam ni,ramai atau tidak yang akan datang.”
“Harap siswi ramailah daripada siswa kali ni. Selalunya siswa lebih berminat ke majlis ilmu begini.” Furqan sengaja menciptakan provokasi. Ingin mengiji kesabaran gadis ini. Lebih tepat lagi ingin membuang resah yang melandanya.
“Furqan fikir siswi kita ni malas sangat ke?”
“Setahu saya siswi lebih suka ke majlis-majlis yang ada persembahan. . Yang ada pantomime,yang ada nasyid misalnya….”
“Mana Furqan tahu?” Pintas Aisya Safira.
“Alah…kalau Usrah al-Firdaus buat konsert nasyid semua akan pergi. Tak ada yang tertinggal.”
“Mana Ustaz Furqan tahu?”
Furqan tergelak dalam hati. Perkataan ‘ustaz’ itu sengaja ditekankan. Gadis ini tidak pernah serius sebelumnya. Jelaslah provokasinya bersahut.
“Saya ada mata dan telinga.”
“Kita tengoklah malam ni,siapa yang lebih ramai.”
Masjid kian hampir. Tepat jangkaannya. Suara parau Abu Munzir berkumandang menjelajahi ruang udara Duwar Nasiem sebaik sahaja dia memasuki pintu gerbang masjd yang berdiri di sebelah makam Abu Farouk,pengasa kariah ini.
Masjid Duwar Nasiem mulai menghimpunkan manusia semula.
Selesai menunaikan sunat ba’diyah isyak,tatkala jemaah mulai surut,Abu Munzir dikelilingi dua puluh pelajar lelaki Melayu yang membentuk bulatan. Lebih kurang tiga meter di belakang puluhan siswi yang turut hadir duduk bersimpuh sambil menantikan syeikh itu memulakan pengajaran. Abu Munzir duduk di atas sebuah kerusi kayu sambil tangannya memmegang tongkat,diapit oleh Furqan dan Iqbal di kiri kanannya.
Furqan sedar provokasi siang tadi membuahkan hasil. Harapannya untuk melihat sambutan yang menggalakkan terhadap kelas-kelas tafaqquh seperti ini terkabul. Mudah-mudahan fenomena ini akan berterusan dan bertambah baik walaupun dia telah tiada nanti. Barangkali Aisya Safira berkempen habis-habisan mengajak kawan-kawannya hadir untuk memastikan dirinya di pihak yang menang.
Iqbal selaku Presiden PERMAI memberikan kata-kata aluan. Sesudah itu,Abu Munzir mengucapkan sedikit muqadimah dan menyatakan manhaj pengajarannya. Seperti biasa,matan kitab akan dibacakan oleh pelajar dan akan diikuti oleh syeikh. Suara kasarnya ditambah bahasa Arab yang fasih memudahkan para pelajar menangkap setiap kalimat.
Pengajian Tahzib Sirah Ibn Hisyam baru bermula sepuluh minit,sebelum Aiman tiba-tiba dalam keadaan termengah-mengah muncul di hadapan pintu,memanggil Furqan.
“Ada apa?”
“Telefon. Ada perempuan telefon,nak bercakap dengan kau. Sekarang!”
Furqan tergamam seketika. Siapa? Perempuan mana?
“Perempuan Arab,”tambah Aiman lagi.
Furqan segera menyarung sandalnya. Akal masih tidak dapat meneka. Dadanya berdegup kencang. Majlis ilmu terpaksa ditinggalkan.

SESEGAR NAILOFAR (BAB 5/3


“Semua pihak menyalahkan kita ,awak tau?”
“Adakah kita yang bersalah?”
Dia kadang-kadang berang dengan sikap insan  yang mudah terkesan akibat tekanan.
Dia dapat mengagak,ketua siswi itu tertekan oleh suara-suara sumbang. Dia dan Iqbal juga tertekan sebenarnya apabila dituduh bena tak bena terhadap kes ini. Walhal,mereka berdua mengambil keputusan menangguhkan pengedaran pekeliling melihatkan masalah ini belum benar-benar meruncing. Masih boleh diselesaikan dengan siasatan yang licin. Lagipun pekeliling akan melibatkan soal maruah.
“Habis dah nak masuk seminggu,PERMAI seolah-olah tidak berbuat apa-apa!”
“PERMAI tak buat apa-apa?Kita boleh saja keluarkan pekeliling,bila-bila masa,tapi siapa yang akan menanggung malu? Setakat ni syukurlah siswa belum tahu. Sekarang pun ahli rumah Mastura dah tak sanggup menutup telinga.”
Furqan menambah lagi tatkala pensyarah yang dinantinya sejak tadi sudah sampai di situ. Tangan lelaki itu menjijit kertas-kertas peperiksaan.
“Saya nak cakap banyak lagi,tapi pensyarah dah datang. Doakanlah saya lulus dengan cemerlang.”
Saffiya terpinga-pinga. Furqan menzahirkan senyum sambil menjeling kepada Aisya Safira yang spontan mendongak memandangnya.
“Anta,anta ada imtihan?” Tanya Saffiya.
Furqan mengangguk. “Ya,tak habis lagi yang saudari Saffiya nak luahkan? Tak apalah saya masuk lewat sedikit. Saya sedia mendengar.”
Wajah Saffiya yang gamma berganti dengan wajah Syahira. Dua perempuan inilah yang sedang mendera perasaannya.
“Sampai sana,jangan lupa tulis surat. Paling malas,sebulan sekali selucuk surat akan sampai ke tangan Ira….seperti sebelum ini.”
“Janji?”
“Aku tak berani berjanji,cukuplah dengan insya-Allah. Cuma balasan Ira yang Fur ragukan.”
“Ragukan Ira?”
Dia melihat kemuraman wajah si gadis apabila dipersoalkan kesetiaannya.
“Ya,Irakan pemalas tulis surat? Tiga surat Fur,Ira baru balas satu .3-1,mana adil?” Usikan itu menggedikkan hati Syahira lantas membuatkannya tertawa. Lesung pipit di pipi kanannya terserlah jelas. Alangkah indahnya!
“Ira juga janji akan tulis sebulan sekali. Satu balas satu. Baru adil.”
“Janji?”
“Mestilah!” Tegas Syahira sambil menguntumkan senyuman.
“Sebulan sekali? Sekarang sudah lebih tiga bulan tanpa sepucuk pun perutusan daripadamu yang bertandang ke kantung suratku! Tidak padamkah lagi hasrat mahu menguji?
“Ya,saudara Furqan,mengapa asyik mengeluh saja,ada idea bernas untuk kita berkongsi sebelum kita mengakhiri majlis ini?”
“Hm…”
Sollehuddin menyikunya. Furqan tersentak.
“Tak ada. Terima kasih.”
Pertemuan tidak rasmi mereka sudahi dengan Tasbih Kaffarah dan Surah al-Asr itu hanya mendebgar empat patah sahaja dari mulutnya.

Design by Blogger Templates