SESEGAR NAILOFAR BAB 8/4

"Sebab kek itu daripada kami semua,bukan daripada ana seorang,"tambah Aisya Safira lagi.
"Begitu ya?" Spontan nada lucu itu keluar dari mulutnya."Hm...nak beri semua sekali pun tak apa."
Aisya Safira tampak mahu tertawa,tetapi masih berdaya menahan. Kala itu dapat menyaksikan semanis-manis wajah gadis itu yang pernah disaksikannya.
Akukah yang dari sehari ke sehari menyenanginya?
Apakah godaan yang mahu menguji kesetiaanku selama ini?
-Aku akan bertahan daripada segala cubaan!
-Bertahannya untuk apa,jika kau sendiri memang menyukainya?
-Ira boleh setia,mengapa aku tidak?
-Meskipun sudah tiga bulan tanpa secebis khabar berita?
"Tak begitu Furqan?"
Furqan tersentak. Lamunannya terhapus.
"Na'am,ustaz. Apa ustaz katakan tadi?"
Iqbal dan Ustaz Abu Yassier lekas tertawa. Ternyata perbualan mereka jauh pergi meninggalkannya tanpa dia sedari.
"Kuat benar khayalan anta ni. Carilah seseorang buat penenang diri."
"InsyaAllah,ustaz."
"Sebenarnya kita ni,atas pengalaman ana sendiri,ketika masih bujang,jika menyukai seseorang perempuan itu...kita akan rasa tak tenang. Jadi kenalah ikat,supaya hati itu tenteram sedikit. Sebab itulah dalam Islam adanya khitbah atau hukum yang membolehkan lelaki atau perempuan melihat orang yang dihajatkannya sebelum terjadinya perkahwinan. Itu pun tak beberapa tenang juga selagi mereka tidak segera dinikahkan."
Ustaz Abu Yassier membaca ayat 21 Surah ar-Rum yang bermaksud:
"Antara tanda-tanda(kebesaran-NYA):menciptakan untuk kamu pasangan(suami-isteri) daripada (jenis)kamu sendiri,supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya,dan dijadikan-NYA antara kamu rasa kasih dan sayang."
"InsyaAllah,ustaz."Hanya itu yang mampu dijawab oleh Furqan pada saat ini.
"Tengok Iqbal,dia agak tenang sekarang. Ada berkat juga orang yang dah bertunang ni. Setidak-tidaknya melegakan kepala. Tak gitu,Iqbal?"
Iqbal hanya mengukirkan senyuman. Matanya tidak lekang daripada merenung sasaran. Di hadapan,terdapat lencongan untuk menyusur keluar ke Jerash.
Furqan kalau rasa berkenan dengan sesiapa,datanglah ke rumah. Nyatakan hajat,insya-Allah ana dan ustazah akan cuba menolong.Ramai lagi muslimat kita yang masih kosong."
"Ustaz jangan bimbang.Kalau ada...malam ni juga saya bawa ke rumah ustaz." Furqan sengaja berjenaka bagi meminggirkan keresahan dihatinya.
"Amboi,cepatnya dapat calon!"balas Ustaz Abu Yassier.
"Jodoh datang tanpa disangka ustaz. Nak buat macam mana?"
Satu kereta gamat dengan tawa.
Furqan mencari-cari idea untuk menukar mauduk. Kacau dibuatnya jika sentiasa diasak dorongan-dorongan sebegitu. Memang ramai siswi di sini yang terpilih akhlaknya. Dia tahu tu. Tapi hatinya ini sudah diisi dengan satu nama yang tidak mungkin dibuangnya,Syahira.
Mereka sampai di Ar-Rumman. Di sebelah kanan jalan berdiri gagah bukit-bukit yang agak rapat di antara satu sama lain. Di antara bukit-bukit itu,di tengah-tengahnya mengalir Sungai Zarqa' yang akan masuk ke Sungai Jordan di sempadan. Di situlah kawasan tadahan hujan utama negara ini. Sebentar lagi,mereka akan melintasi Baq'ah,perkampungan pelarian Palestin yang sudah menjadi pekan dan seterusnya Sweileh yang menjadi kubu Ikhwanul Muslimin dan dipenuhi ratusan pelajar Melayu.
Kereta terus meluncur. Destinasi mereka,Jubeiha yang terletak di pinggir ibu kota Amman masih jauh di depan.Dalam kepalanya,Furqan terus diasak pertanyaan,dapatkah Mastura dibawa pulang?
**********************************************************************************
Sejurus selepas loceng ditekan,seorang perempuan muda datang membuka pintu.
"Assalamualaikum." Furqan segera memberikan salam apabila gadis Arab itu menarik daun pintu. Walaupun agak janggal,anak gadis tetap menyambut tetamu dengan mesra.Barangkali ahli keluarganya yang lelaki tiada di rumah,fikir Furqan.
"Waalaikummussalam."
"Saya mencari Nusaibah.Boleh saya berjumpa dengannya?
Wajah gadis yang bertudung putih itu segera berubah,menyoroti Furqan dari atas ke bawah.
"Awak ni Furqan?Furqan yang bercakap di telefon malam tadi?
"Ya,memang saya."
"Saya Nusaibah. Mastura ada di dalam."
Ketika itu kedengaran suara parau dari dalam rumah besar itu.
"Siapa datang,Nusaibah?"
"Pelajar dari Malaysia,baba. Kawan Mastura."
Nusaibah segera memberi ruang. Seorang lelaki bertampang tenang muncul di pintu. Bibirnya mengukir senyuman mesra. Furqan terus memperkenalkan diri.
"Jemputlah masuk."
Furqan memanggil Iqbal,Ustaz Abu Yassier dan Ustazah Ummu Humairah yang sedang menanti di kereta. Sebentar kemudian,mereka berempat sudah ada di ruang tamu rumah Nusaibah. Perabot bermutu tinggi yang tersusun rapi meyakinkan mereka bahawa keluarga ini boleh digolongkan berada.
Bapa Nusaibah membahasakan dirinya Abu Miqdad agak peramah. Bekas pensyarah di Universiti Jordan ini menjadikan penulisan buku-buku sejarah sebagai profesionnya setelah bersara agal awal. Mengaku tulus,dia menyukai pelajar Melayu,mengikuti perkembangan politik Malaysia,malah katanya pernah ke Malaysia semasa zaman Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri. Tun Abdul Razak memurutnya,negarawan Nusantara yang begitu disenangi oleh pemimpin-pemimpin negara Arab pada awal 70-an.


0 comments:

Design by Blogger Templates