:: Indahnya Menjadi Yang Pertama ::
“Wahai Rasul utusan Allah, tiada lagi harta dan
hal lainnya yang bersamaku untuk aku sumbangkan demi dakwah. Andai
selepas kematianku, tulang-tulangku mampu ditukar dengan dinar dan
dirham, maka gunakanlah tulang-tulangku demi kepentingan dakwah yang
panjang ini.
Itulah kalimat agung yang menggambarkan hakikat tajarrud (penyerahan total) yang tinggi kepada perjuangan yang diimani.
Ungkapan yang menyebabkan Ruhul Amin bergetar lantas segera naik bertemu dengan Allah swt,
Jibril bertanya: Ya Allah, tidakkah Kau mendengar kata-kata itu?
Allah menjawab:
Bukan hanya kata-katanya sahaja yang Aku dengari malah bisikannya juga.
Jibril, sampaikanlah salam Aku kepadanya.
Alangkah hebatnya
insan ini hingga Allah sendiri mengirim salam sejahtera kepadanya
.Siapakah dia dan apakah keistimewaannya hingga terpilih untuk mendapat
kehormatan sebegini?
Beliaulah wanita pertama, bahkan insan
pertama yang meyakinkan pembawa risalah akan kebenaran agama ini. Yang
pertama menyatakan kesediaan untuk berkorban dan menyerah segala-galanya
semata-mata mempertahankan kebangkitan ajaran suci ini. Beliaulah
Khadijah binti Khuwailid, wanita tersohor di zamannya yang mendampingi
pembawa risalah untuk umat akhir zaman ini.
Tujuan
penulisan ini bukanlah sekadar untuk kita mengenang dan menangisi
pemergian beliau, bukan juga hanya untuk menceritakan riwayat hidup
beliau yang sememangnya sudah dihadam oleh kebanyakan kita, tetapi
tujuan penulisan ini ditulis adalah untuk mengajak pembaca untuk menjadi
yang pertama!
Mari menjadi yang pertama.
Kerana
merupakan yang pertama berimanlah yang menjadikan beliau yang pertama
menerima khabar gembira dijamin sebagai ahli syurga serta mendapat
penghormatan dan gelaran ummul mukminin, di mana beliau adalah penghulu
seluruh wanita di dunia ini dan di dalam jannatul firdaus nanti.
Diriwayatkan oleh al-Bazzaar dan at-Thabraani daripada Ammar bin Yasir, Rasullulah S.A.W bersabda,
Khadijah melebihi wanita-wanita umatku sebagaimana Maryam melebihi wanita-wanita seluruh dunia
Imam Bukhari
juga meriwayatkan kata-kata Abu Hurairah bahawa pada satu ketika
Malaikat Jibril mendatangi Rasulullah S.A.W. Dia berkata,
Wahai
Rasulullah, Khadijah sudah datang membawa makanan dan minuman. Kalau
dia sudah tiba, sampaikan salam kepadanya daripada Allah dan daripadaku,
khabarkan kepadanya sebuah istana yang diperbuat daripada intan permata
sudah disediakan untuknya.
Kerana yang pertama menyokong dan
memberi kekuatan kepada Rasulullahlah Khadijah mendapat tempat yang utuh
di dalam hati baginda Rasulullah saw hingga mendatangkan rasa cemburu
dalam hati isteri-isteri baginda yang lain.
Aku tidak
pernah cemburu kepada seorang pun isteri Rasulullah S.A.W seperti
cemburuku kepada Khadijah. Dia memang sudah meninggal dunia sebelum
baginda mengahwini aku. Tetapi aku cemburu kerana aku mendengar baginda
menyebut-nyebutnya, dan baginda diperintahkan oleh Allah supaya
memberinya khabar gembira bahawa dia mendapat sebuah istana di syurga,
juga kalau baginda menyembelih kambing, baginda menghadiahkan dagingnya
kepada teman-teman khadijah
Kerana menjadi yang pertama
terlibat dalam perjuangan menegakkan Al-haq, kini Khadijah tenang di
alam barzakh sana, dibawah bayangan nikmat-nikmat syurga, di dalam
keadaan ganjaran pahala sentiasa mengalir sampai kepadanya kerana
amalan-amalannya, pengorbannanya menjadi contoh ikutan oleh umat ini.
Diriwayatkan oleh Muslim:
Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan
selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang
mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu)
sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu
ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang
mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu)
sedikit pun.
[Hadith sahih riwayat Muslim]
Indahnya menjadi yang pertama.
Tiada jual beli yang lebih menguntungkan melainkan kita bersama
menjejaki dan mencontohi mereka yang telah berjaya melalui tempoh ujian
dan dugaan dalam memperjuangkan Al-haq dan menumpaskan kebatilan .
Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu
mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum
ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh
Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.
(Az-Zumar:18)
Wahai
orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang
boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi
sakitnya?Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu
berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri
kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak
mengetahui. Dengan itu Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan
memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa
sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam
Syurga “Adn”. Itulah kemenangan yang besar.
(As-Soff: 10-12)
Sejarah telah membuktikan, perjuangan ,pengorbanan ,kesusahan
,keperitan dan penderitaan yang dilakukan semata-mata untuk memenangkan
agama ini,pasti tidak akan disia-siakan.Dan mereka yang terlibat di
peringkat awal merupakan yang paling mendapat keberuntungan didalam
perjuangan ini.
(Al-hadid:10)
Mari menjadi Khadijah untuk umat ini. Mari menjadi yang pertama!
0 comments:
Post a Comment