Wanita yang Menutup Aurat itu Indah
seperti Emas Permata
Islam mewajibkan umatnya menutup aurat. Kewajipan ini sepertimana yang terakam dalam surah an-Nur ayat ke 31 yang bermaksud:
”Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat
pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara
kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh
mereka kecuali yang zahir daripadanya”
Manakah yang lebih mulia?
Pernah terjadi suatu kisah yang menceritakan tentang seorang gadis
bukan Islam yang sangat terpikat dan mengagumi Islam. Dia juga sudah
boleh memahami dan menerima segala-galanya tentang Islam kecuali satu
perkara.
Mengapa wanita Islam mesti menutup aurat terutama memakai tudung?
Sudah banyak orang yang ditanya oleh gadis itu termasuk ustaz-ustaz dan
orang Islam lainnya. Namun dia masih belum dapat berpuas hati dengan
jawapan-jawapan mereka semua.
Pada suatu hari, kawan gadis itu telah membawanya berjumpa dengan seorang ustaz pula. Pada mulaya dia agak keberatan.
“Rasanya, sama sahaja jawapan daripada ustaz-ustaz itu. Tidak payahlah kita pergi membuang masa kita dengan menemui mereka.”
Kawannya yang sudah Islam itu terus memujuk,
“Cubalah dahulu sahabat, bukan salah kita mencuba. Thomas Edison dan
Kapten Fried juga hanya berjaya setelah ribuan kali percubaannya.”
“Tapi ini soal agama. Aku yakin Tuhan punyai sebab mengapa hanya wanita
Islam sahaja yang diperlukan menutup keseluruhan badan kecuali wajah
dan kedua tapak tangan. Manakala aurat lelaki hanya dari pusat ke lutut.
Pasti ada sebabnya, tapi nampaknya orang Islam sendiri pun kurang
mengerti.”
“Engkau perli aku ya?” Kawannya itu mencebik. Dia buat tidak endah. Kawannya mengalah, terus memujuk.
“Baiklah, ini yang terakhir. Kalau jawapannya kurang memuaskan hatimu,
kita berhenti.” Tiada cara lain untuk memujuk sahabatnya itu melainkan
melafazkan janji sebegitu.
Mereka berdua pergi berjumpa dengan ustaz tersebut.
“Maaf ustaz, inilah sahabat yang saya maksudkan tempoh hari.
Alhamdulillah dia sudah mempercayai tentang Islam dan isinya. Cuma yang
menyekat dirinya daripada melafazkan syahadah ialah kerana dia tidak
dapat menerima alasan mengapa Islam menyuruh penganut wanitanya menutup
aurat.”
Ustaz muda yang berjanggut sejemput itu tersenyum. Seakan faham dia pada masalah yang menjadi halangan kepada gadis itu.
Sejurus kemudian dia bersuara kepada gadis itu.
“Boleh saya bertanyakan beberapa persoalan dan awak jawab dengan sejujur mungkin?”
“Boleh, tidak ada masalah.” Tingkah si gadis.
“Baiklah, kamu pernah ke pasaraya?”
“Pernah.”
“Pernah masuk ke kedai emas?”
“Pernah.”
“Pernah ke pasar malam?”
“Pernah.”
Ustaz muda itu terdiam sejenak. Lantas menyambung kembali persoalannya.
“Baik, antara tempat-tempat yang saya nyatakan tadi di manakah
dipamerkan atau dijual batu permata, intan berlian, emas perak yang
mahal-mahal harganya?”
“Tentu sahaja di kedai emas.”
“Bagaimana keadaannya?”
“Diletakkan di
para yang cantik untuk pameran, dilindungi cermin yang kukuh dan kalis
peluru untuk mengelak dari dikhianati. Bahkan mungkin tersimpan di dalam
peti besi bagi tujuan keselamatannya dan hanya boleh dilihat oleh
orang-orang tertentu sahaja.”
“Bagaimana pula dengan barangan kemas dari jenis yang sama namun barangan tiruan. Di manakah tempat mereka?”
“Jika yang sebegitu, mudah sahaja dijumpai di tepi-tepi jalan, malah
sentiasa terdedah dan tidak ada yang sudi mencurinya kerana kemurahannya
itu.”
Mata sahabat gadis itu bersinar, “Ada harapan,” katanya di dalam hati.
Ustaz tersebut segera menerangkan maksud analogi itu.
“Begitulah juga Islam yang sentiasa meletakkan wanita di tempat yang
tinggi dan perlu sentiasa terjaga. Kewajipan menutup aurat adalah kerana
tubuh badan seorang wanita itu adalah sangat berharga dan suci, mana
mungkin kemuliaan dan kesucian seorang wanita itu dipamerkan kepada
manusia yang tidak sepatutnya? Ibarat emas permata, intan berlian yang
sentiasa terjaga dan dilindungi malah diletakkan di dalam bekas yang
cantik dan selamat.”
Gadis berdua itu terpana. Jelas, terang lagi bersuluh. Sahabatnya tidak putus mengucapkan syukur.
Dia berkata, “Jika begitu ustaz, mereka yang tidak menutup aurat ibarat
barangan murahan yang dapat dijumpai di tepian jalan, boleh dipegang
sesuka hati malah harga sangat murah? Jika begitu, benarlah suruhan
Allah untuk wanita menutup aurat sepertimana yang termaktub dalam surah
an-Nur ayat ke-31.”
Ustaz itu hanya tersenyum sambil mengangguk.
Dan si gadis itu berkata dengan lancar dan
tenang, “Tiada Tuhan melainkan Allah, nabi Muhammad pesuruh Allah.”
Semua melafazkan syukur
0 comments:
Post a Comment